Bdb 1024x683 1

BDB jalin kerjasama dengan Shanghai Youzgu Industry urus sisa industri

Bdb

ALOR SETAR: Bina Darulaman Berhad (BDB) mengumumkan jalinan kerjasama antarabangsa bersama Shanghai Youzhu Industry Co. Ltd. (Shanghai Youzhu) dengan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi melaksanakan projek pengurusan sisa
industri secara inovatif serta inisiatif BDB untuk menyumbang kepada kelestarian alam sekitar melalui pembangunan yang mampan.

Pengarah Eksekutif BDB, Raja Shahreen Raja Othman berkata, usaha sama ini adalah selari dengan Teras 6 Pelan Pembangunan Kedah 2035 (PPK 2035) yang melibatkan kemampanan alam sekitar serta merupakan komponen penting kepada Pelan Strategik BDB.

Menurut beliau, projek yang dicadangkan ini bukan sahaja selaras dengan aspirasi PPK 2035, tetapi turut mengambilkira aspirasi nasional dan global iaitu Dasar Kebersihan Negara, Dasar Perubahan Iklim Negara dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

“Usaha sama ini bertujuan memanfaatkan kepakaran kedua-dua pihak dalam melaksanakan pengurusan sisa industri yang komprehensif, meminimumkan kesan terhadap alam sekitar, menggalakkan pembangunan mampan serta memastikan pematuhan kepada garis panduan dan arahan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

“Selain itu, kerjasama ini juga bertujuan untuk menyumbang kepada kesejahteraan penduduk dan komuniti di kawasan persekitaran dan pemegang taruh (stakeholders) berkaitan.

“Selaras dengan objektif ini, BDB dan Shanghai Youzhu turut merancang dan melihat akan potensi bagi menubuhkan syarikat usahasama berkaitan pembangunan pengurusan sisa industri di Negeri Kedah” kata Raja Shahreen selepas majlis menandatangani MOU yang diadakan di Hotel Raia, Alor Setar, Kedah.

Majlis menandatangani MOU berkenaan turut diserikan dengan kehadiran Menteri BesarcKedah, Datuk Seri  Muhammad Sanusi Md Nor.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr. Haim Hilman Abdullah; Pengerusi BDB, Che Had Dhali; Ketua Pegawai Operasi BDB, Mohd Sobri Hussein; Presiden
Shanghai Youzhu Industry Co. Ltd., Yu Qiang; Presiden XREP, Rakan Strategik Youzhu/Jiahui, Shi Yihang dan Community Senior Procument Director, Austria Technologie & Systemtechnik Aktiengesellschaft (AT&S) Malaysia, Xie Zun Xian..

Dalam pada itu, Raja Shahreen memaklumkan bahawa BDB memilih untuk bekerjasama dengan Shanghai Youzhu berdasarkan kepakaran dan pengalaman mereka selama 27 tahun dalam menguruskan proses keseluruhan rantaian bekalan bahan kimia industri serta memiliki pengalaman lebih 10 tahun dalam pemulihan dan pengurusan sisa pepejal termasuklah sisa yang berbahaya dan terjadual, proses kitar semula sisa buangan dan mempunyai sistem pengurusan sisa industri secara holistik.

Raja Shahreen juga menambah, Shanghai Youzhu kini sedang menyediakan perkhidmatan pengurusan sisa kepada AT&S di Kulim, Kedah dan Chongqing, China.

AT&S adalah syarikat global yang berpengkalan di Austria dan peneraju pasaran global untuk printed circuit boards (PCB) dan integrated circuit (IC) berteknologi tinggi yang menjalankan operasi pengeluaran di Austria, China, India dan Korea serta mempunyai pejabat jualan di seluruh dunia.

“Shanghai Youzhu juga telah melebarkan sayap di Malaysia dengan penubuhan Jiahui Industrial (Malaysia) Sdn. Bhd., yang mana ia terlibat secara langsung dalam pengurusan sisa industri.

“Kerjasama ini merupakan salah satu bukti di mana BDB dan Shanghai Youzhu mempunyai visi yang sama mewujudkan masa depan yang lebih bersih dan hijau. Dengan ini, BDB dan Shanghai Youzhu teruja untuk merintis kepada penyelesaian inovatif yang akan memberi sumbangan yang bermakna untuk menghasilkan komuniti yang mampan dan mesra alam,” jelasnya. – UTUSAN

The post BDB jalin kerjasama dengan Shanghai Youzgu Industry urus sisa industri appeared first on Utusan Malaysia.