Whatsapp image 2024 01 17 at 2. 50. 10 pm

Kedah tidak ada simpanan bekalan air terawat

Whatsapp image 2024 01 17 at 2. 50. 10 pm

PUTRAJAYA – Kedah tidak mempunyai simpanan bekalan air terawat berikutan rizab marginnya dikesan sifar disebabkan isu tekanan air.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir, berkata ia menjadi punca permintaan bekalan air tidak dapat dipenuhi di negeri berkenaan.

“Dalam hal ini, Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) perlu ada perancangan untuk meningkatkan rizab margin ke arah mencapai rizab margin 15 peratus sebagaimana ditetapkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara.

“Ini sebagai petunjuk prestasi utama (KPI) melalui pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) baru dan menaiktaraf LRA sedia ada,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pembekal perkhidmatan bekalan air Kelantan juga diminta untuk mematuhi piawaian kualiti air minuman seperti ditetapkan Kementerian Kesihatan.

“Melalui pelarasan tarif ini, pihak Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) bertanggungjawab membuat perancangan yang teliti supaya mematuhi piawaian yang ditetapkan,” ujarnya.

Jelasnya, begitu juga bagi operator air di negeri lain perlu membuat perancangan menyelesaikan isu berhubung bekalan air secara spesifik di masa akan datang.

“Ini bagi menangani isu pencemaran, respon dan penyelesaian aduan serta menatasi isu gangguan bekalan air,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Kedah tidak ada simpanan bekalan air terawat appeared first on Kosmo Digital.