Whatsapp image 2024 01 31 at 5. 37. 31 pm 1024x768 1

Kelantan masih kaji, teliti cadangan KSAS

Whatsapp image 2024 01 31 at 5. 37. 31 pm

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan masih membuat kajian dan meneliti cadangan pengubahan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) di negeri ini.

Timbalan Menteri Besar Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, proses berkait perkara itu masih lagi berjalan selepas peringkat pendengaran awam selesai.

“Sekarang ini semua jawatankuasa terlibat sedang membuat penelitian dan apabila semua proses tersebut sudah tamat, saya akan maklumkan perkembangannya kemudian,” katanya kepada pemberita selepas Majlis penyerahan sijil pentauliahan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) kepada pusat latihan dan syarikat SLDN-TVET Tahfiz Pertanian Kerajaan Negeri Kelantan: Gerakan Pertanian Al-Falah di sini hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Kerajaan Kelantan akan menambah dua jawatankuasa untuk melihat semua maklum balas dan maklumat dalam menyediakan laporan mengenai cadangan untuk mengubah KSAS di negeri ini.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, pihaknya kini sedang menunggu laporan dari setiap jawatankuasa dilantik selepas proses publisiti dan penyertaan awam berhubung cadangan mengubah KSAS baru sahaja ditutup.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri Kelantan pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) kali ke-22/2020 pada 21 Oktober 2020 memutuskan supaya kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK), kecuali kawasan punca air atau tadahan air, tidak lagi diklasifikasikan sebagai KSAS.

Pelaksanaan keputusan itu masih dalam peringkat draf Pengubahan Rancangan Pemajuan di Kelantan, iaitu Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) Kelantan sedang melaksanakan Program Publisiti dan Penyertaan Awam mulai 11 Oktober 2023 hingga 11 November 2023.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Fadzli berkata, pihaknya berharap Kerajaan Persekutuan tidak mengambil langkah terburu-buru atau drastik berkait cadangan pemansuhan skim pencen bagi penjawat awam baharu berstatus tetap.

Katanya, banyak perkara perlu difikirkan terutama berkait dengan masa depan penjawat awam selepas menamatkan perkhidmatan sebelum cadangan itu dikuatkuasakan.

“Pelaksanaan itu pasti akan memberi kesan kepada perundangan negara berikutan skim pencen dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Skim pencen adalah satu keistimewaan bagi penjawat awam yang sebahagian besarnya merupakan Bumiputera. Ia dipandang sebagai sesuatu yang penting sewaktu Perlembagaan Persekutuan digubal.

“Jadi banyak perkara perlu dikaji dan difikirkan termasuk kesan kepada perundangan, kehidupan masyarakat dan masa depan penjawat awam. Jadi jangan ambil langkah terburu-buru atau drastik,” tegasnya.-UTUSAN

The post Kelantan masih kaji, teliti cadangan KSAS appeared first on Utusan Malaysia.