Jerebu 1024x695 1

Kurang hujan, berisiko jerebu mulai Jumaat ini

Jerebu scaled 1

PETALING JAYA – Selepas beberapa kawasan sering dilanda hujan sejak akhir-akhir ini, negara akan mengalami taburan hujan yang sedikit dan berjerebu kerana fasa permulaan Monsun Barat Daya bermula 17 Mei ini.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, negara akan memasuki fasa permulaan Monsun Barat Daya yang dijangka bermula pada 17 Mei 2024 sehingga September 2024.

Menurutnya, semasa fasa permulaan monsun, negara akan menerima tiupan angin secara konsisten dari arah barat daya dan menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan.

“Kurangnya pembentukan awan mampu membawa kepada taburan hujan yang lebih rendah dan kebanyakan tempat di seluruh negara akan mengalami bilangan hari tanpa hujan lebih banyak berbanding bilangan hari hujan.

“Kejadian ini boleh berlaku pada awal pagi di beberapa kawasan seperti di pantai barat Semenanjung, utara Sarawak dan barat Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, dalam tempoh itu, fenomena jerebu boleh berlaku sekiranya pembakaran terbuka tidak dikawal terutamanya pada bulan Julai sehingga September.

Katanya, orang ramai dinasihatkan tidak melakukan aktiviti pembakaran terbuka bagi mengelakkan kesan jerebu, pencemaran alam sekitar dan disarankan menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh berkenaan.

Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web, aplikasi mobil myCuaca, media sosial rasmi Jabatan dan Hotline Jabatan 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut. – KOSMO! ONLINE

The post Kurang hujan, berisiko jerebu mulai Jumaat ini appeared first on Kosmo Digital.