B019700b 49db 42c0 a43a 59e960c27b3d 675x1024 1

Lelaki maut leher tersepit pintu bank

SHAH ALAM: Seorang lelaki ditemukan maut selepas lehernya dipercayai tersepit pada pintu automatik sebuah bank di Kota Kemuning di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat daripada orang awam pukul 7.29 pagi tadi.

Katanya, mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan terbaring di hadapan pintu masuk ruang mesin pengeluaran automatik (ATM) bank berkenaan.

“Siasatan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati lelaki terbaring kira-kira pukul 11.48 malam tadi.

“Ketika kejadian, mangsa dipercayai mabuk sebelum pintu automatik bank itu tertutup dan menyebabkan lehernya tersepit pukul 12.01 tengah malam,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jelas Mohd. Iqbal, semakan mendapati pintu berkenaan terbuka semula, kira-kira pukul 6 pagi.

“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di tempat kejadian.

“Tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan dan mangsa dianggarkan berusia lingkungan 50 hingga 60-an,” ujarnya.

Tambah beliau, siasatan awal mendapati kes berkenaan tiada sebarang unsur jenayah.

“Selain itu, tiada kecederaan lain dikesan dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

“Individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd. Shahrul di talian 012-3630512 atau balai polis berdekatan,” katanya. – UTUSAN

The post Lelaki maut leher tersepit pintu bank appeared first on Utusan Malaysia.