Letusan Anak Krakatau tak jejas IPU Johor
![]()
BATU PAHAT – Letusan Gunung Anak Krakatau di Selat Sunda, antara Pulau Jawa dan Sumatera, kelmarin dijangka tidak menjejaskan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Johor sehingga menyebabkan sekolah ditutup.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Dr. Muhammad Naqib Md Ghazali berkata, keadaan kualiti udara di negeri ini semakin baik apabila hanya empat daerah merekodkan bacaan sekitar 150 setakat pagi ini.
Menurut beliau, berdasarkan ketetapan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor, sekolah hanya akan ditutup sekiranya bacaan IPU mencecah 200 dan ke atas.
“Bagaimanapun, aktiviti luar masih tidak dibenarkan sekiranya bacaan IPU berada pada tahap yang tidak sihat.
“Pihak JPN juga perlu memastikan rangkaian komunikasi antara jabatan, sekolah dan ibu bapa sentiasa berada dalam keadaan baik supaya setiap perkembangan dapat disampaikan dengan segera,”katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Lawatan Kerja ke pembukaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Suria Jaya, Parit Yaani di sini hari ini.
Muhammad Naqib berkata, maklumat berkaitan pencemaran udara perlu disalurkan dengan pantas kerana bacaan IPU boleh berubah dalam tempoh singkat selain membolehkan ibu bapa mengetahui arahan terkini daripada JPN. – KOSMO! ONLINE
The post Letusan Anak Krakatau tak jejas IPU Johor appeared first on Kosmo Digital.