Malaysia, Indonesia, Singapura perkukuh keselamatan Selat Melaka, Singapura
![]()
SINGAPURA: Malaysia, Indonesia dan Singapura menegaskan semula komitmen bersama untuk memastikan Selat Melaka serta Selat Singapura kekal bebas, terbuka dan selamat bagi menjamin kelancaran perkapalan antarabangsa.
Kedua-dua selat berkenaan yang menjadi antara laluan perdagangan utama dunia perlu terus diperkukuh dari aspek keselamatan dan keterbukaan bagi memastikan pergerakan perdagangan serta bekalan tenaga global tidak terjejas.
Komitmen itu dinyatakan Jabatan Laut Malaysia, Direktorat Am Perhubungan Laut Indonesia serta Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) menerusi kenyataan bersama sempena Forum Kerjasama Ke-17, hari ini.
Ketiga-tiga negara turut menekankan kepentingan menghormati hak dan kebebasan pelayaran dari segi prinsip serta amalan.
Mereka turut menegaskan Selat Melaka dan Selat Singapura merupakan selat yang digunakan untuk navigasi antarabangsa, sekali gus memberikan hak laluan transit berdasarkan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS) serta undang-undang adat antarabangsa.
Sementara itu, Menteri Pengangkutan Singapura, Jeffrey Siow berkata, Selat Melaka dan Selat Singapura (SOMS) merupakan antara laluan utama perdagangan global dengan lebih 100,000 kapal melalui kedua-dua laluan air itu setiap tahun.
Katanya, kedua-dua selat berkenaan menjadi laluan bagi hampir satu perempat perdagangan laut global serta hampir satu pertiga bekalan minyak dan gas dunia.
“Peristiwa di Asia Barat tahun ini mengingatkan dunia bahawa laluan laut yang terbuka tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang sentiasa terjamin.
“Di rantau ini, kami akan berusaha memastikan Selat Melaka dan Selat Singapura kekal bebas, terbuka serta selamat untuk perkapalan antarabangsa,” katanya ketika merasmikan forum berkenaan.
Menurut Siow, Mekanisme Kerjasama yang diwujudkan secara rasmi pada 2007 merupakan pelaksanaan pertama dan satu-satunya bagi Artikel 43 UNCLOS yang menyeru negara-negara terbabit bekerjasama dalam aspek keselamatan navigasi serta pencegahan pencemaran.
Katanya, menerusi mekanisme berkenaan, ketiga-tiga negara berjaya menterjemahkan kepentingan bersama kepada tindakan kolektif dalam tiga bidang utama.
“Antaranya menjangka risiko lebih awal, menaik taraf infrastruktur secara berkala dan menangani insiden secara kolektif,” katanya.
Siow berkata, kerjasama berterusan antara ketiga-tiga negara amat penting bagi memastikan cabaran baharu terhadap keselamatan dan kelancaran perkapalan di kedua-dua selat dapat ditangani secara berkesan.
Menurutnya, kestabilan laluan berkenaan bukan sahaja penting kepada negara pantai, malah mempunyai kesan langsung terhadap rantaian bekalan dan perdagangan dunia. – UTUSAN
The post Malaysia, Indonesia, Singapura perkukuh keselamatan Selat Melaka, Singapura appeared first on Utusan Malaysia.