Mahkamah: Pengarah urusan resort Pulau Perhentian runtuh didenda RM150,000

BESUT – Pengarah Urusan Malee Beach Resort yang runtuh sehingga meragut dua nyawa manakala lima lagi buruh binaan cedera di Pulau Perhentian dekat sini pada dua bulan lalu didenda RM150,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Ahmad Fadhli Mahmud memerintahkan demikian setelah Orang Kena Saman (OKS), Lee Boon Han,55, yang berasal dari Tropicana Indah, Petaling Jaya, Selangor membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan.

Beliau juga mengarahkan agar OKS dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Berdasarkan pertuduhan, Boon Han didakwa melanggar kewajiban memastikan keselamatan projek dengan membina premis Malee Beach Resort itu menggunakan lukisan konsep disediakan pelukis bebas yang tidak mempunyai perakuan daripada perunding bertauliah.

Dia juga didakwa membina bangunan dewan makan resort berkenaan tanpa kelulusan dan kebenaran merancang daripada Majlis Daerah Besut (MDB).

OKS didakwa tidak melaksanakan siasatan tanah di tapak binaan dan tidak menyediakan laporan kesan alam sekitar (EIA).

Boon Han turut didakwa menggaji penyelia tapak dan pekerja yang tidak mahir dan tidak memiliki perakuan kemahiran dan akreditasi daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

Perbuatan OKS pada antara pukul 1 pagi hingga 5 pagi pada 9 November tahun lalu berkenaan didakwa telah menyebabkan keseluruhan bangunan dewan makan tiga tingkat berkenaan runtuh lalu menghempap tujuh pekerja.

Kosmo! 10 November 2023 melaporkan dua buruh binaan maut manakala lima lagi cedera parah selepas tertimbus dalam runtuhan tapak pembinaan restoran setinggi tiga tingkat sebuah resort di Pulau Perhentian, Kuala Besut. – KOSMO! ONLINE

The post Mahkamah: Pengarah urusan resort Pulau Perhentian runtuh didenda RM150,000 appeared first on Kosmo Digital.

Related Articles