Img 20231206 wa0223

Sg. Kim Kim: Pesalah patut didenda RM10 juta, dipenjara

Img 20231206 wa0223

Img 20231206 wa0223

ISKANDAR PUTERI: Pesalah yang menyebabkan pencemaran alam sekitar seperti kejadian di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang sepatutnya didenda sehingga RM10 juta dan dipenjarakan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri, K. Raven Kumar mengakui hukuman sedia ada terlalu ringan dan tidak setimpal dengan kesan perbuatan tersebut apatah lagi apabila menjejaskan kesihatan rakyat dan membazirkan jutaan wang kerajaan.

“Kerajaan negeri dan Persekutuan telah berbelanja banyak untuk perbetulkan keadaan, tetapi apabila hukuman diberi dilihat tidak berbaloi, ia menyedihkan. Namun dalam masa sama kita tidak menyalahkan mahkamah, sebaliknya perlu lihat semula akta dan denda ditetapkan.

“Kita perlu tingkatkan hukuman melibatkan kes-kes seperti ini, tingkatkan jumlah denda sehingga RM5 juta atau RM10 juta, berikan hukuman penjara atau khidmat komuniti sekali, baharulah pihak-pihak itu tidak akan buat kerja-kerja seperti itu,” katanya ketika diminta mengulas hukuman dijatuhkan Mahkamah Sesyen Johor Bahru terhadap syarikat dan individu yang mengaku bersalah menyebabkan pencemaran di Sungai Kim Kim beberapa tahun lalu.

Raven Kumar ditemui pada Majlis Penyerahan Kerusi Kitar Semula oleh Petron di Kota Iskandar, di sini hari ini yang turut dihadir,iTimbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan), Datuk On Jabbar.

Pada 30 November lalu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam satu kenyataan memaklumkan syarikat terlibat, P. Tech Resources Sdn. Bhd. yang didakwa dengan lapan pertuduhan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014 juga dikenakan denda RM40,000 bagi setiap pertuduhan, menjadikan jumlah keseluruhan denda sebanyak RM320,000.

Turut dikenakan hukuman adalah pemandu lori, N. Maridass yang didenda maksimum RM100,000 kerana menyebabkan kejadian pencemaran Sungai Kim Kim.

Hakim Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim menjatuhkan hukuman itu selepas semua tertuduh mengaku bersalah.

Raven Kumar berkata, kerajaan negeri akan membantu memudahkan urusan rayuan bagi memastikan hukuman lebih berat dapat dikenakan terhadap pihak yang menyebabkan insiden pencemaran itu berlaku.

Pada Mac 2019, insiden pencemaran Sungai Kim Kim itu telah menjejaskan kesihatan lebih 2,000 orang awam sehingga menyebabkan 111 buah sekolah di Pasir Gudang ekoran pembuangan sisa toksik.

Kejadian itu turut menyaksikan seramai 947 orang diberikan dirawat dengan sembilan daripada mereka ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultan Ismail. – UTUSAN

The post Sg. Kim Kim: Pesalah patut didenda RM10 juta, dipenjara appeared first on Utusan Malaysia.