Malaysia kaji potensi tenaga nuklear

Ab09346f 1564 4612 af34 fd2363ffd572 1024x683 1

Ab09346f 1564 4612 af34 fd2363ffd572

GEORGE TOWN: Malaysia sedang melaksanakan penilaian dan persediaan bagi mengkaji potensi tenaga nuklear sebagai sebahagian daripada campuran tenaga masa depan negara.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang berkata, kementeriannya pada masa ini memberi tumpuan kepada kerja-kerja kesiapsiagaan bagi memastikan negara bersedia sekiranya kerajaan membuat keputusan untuk menggunakan tenaga nuklear pada masa hadapan.

Katanya, kesiapsiagaan itu merangkumi aspek pembangunan teknologi, bakat serta kerangka kawal selia selain memastikan industri tempatan mempunyai keupayaan yang diperlukan.

“Tenaga nuklear ini kita sedang kaji, dan sudah tentu sekarang kita buat kerja-kerja kesiapsiagaan. Bukan bermakna kita sudah buat keputusan, tetapi, kita perlu bersiap sedia supaya kawal selia kita bersedia, bakat kita bersedia.

“Pada masa yang sama, kita juga perlu memastikan agar industri turut bersedia dari segi persiapan,” katanya selepas merasmikan Kongres Kejuruteraan, Sains dan Teknologi (ESTCON) Ke-9 2026 di Penang Waterfront Convention Centre (PWCC) di sini, hari ini.

Menurut beliau, langkah atau persediaan awal itu penting susulan peningkatan permintaan terhadap tenaga dan infrastruktur digital khususnya didorong perkembangan kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan dan pusat data hiperskala.

“Keperluan tenaga negara perlu dilihat secara menyeluruh bagi memastikan pertumbuhan sektor semikonduktor, pembuatan berteknologi tinggi dan ekonomi digital disokong sumber tenaga yang selamat, mampu milik serta semakin mampan,” katanya.

Lih Kang berkata, bidang AI, robotik termaju, bioteknologi dan pengkomputeran kuantum ketika ini mengubah ekonomi serta masyarakat, sekali gus memerlukan kerajaan menilai semula aspek pendidikan, pekerjaan, dasar perindustrian dan keselamatan negara.

“AI bagaimanapun tidak boleh berkembang tanpa sistem tenaga yang boleh dipercayai dan mampan, manakala daya tahan iklim bukan lagi hanya isu alam sekitar tetapi sudah menjadi satu keperluan ekonomi,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Lih Kang berkata, Malaysia turut memperkukuh keupayaan dalam teknologi strategik dan baharu termasuk AI, bahan termaju, teknologi angkasa serta nuklear bagi memastikan negara bukan sekadar menjadi pengguna teknologi.

Katanya, selain itu, negara juga mahu meningkatkan keupayaan untuk membangunkan, mengaplikasikan dan mengkomersialkan teknologi sendiri bagi memperkukuh daya saing negara dalam jangka panjang. – UTUSAN

The post Malaysia kaji potensi tenaga nuklear appeared first on Utusan Malaysia.

Related Articles