Potongan pokok tualang ‘kebal’ ditanam semula di kawasan projek LTU
![]()
GUA MUSANG – Potongan pokok tualang berusia lebih 120 tahun yang ditebang bagi memberi laluan kepada pembinaan projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) Pakej 2A akan ditanam semula atau ditimbus di kawasan tanah berhampiran projek tersebut di Kampung Sungai Bayu di sini.
Koordinator Projek LTU Pakej 2A, Fizal Irwan Abdul Wahid berkata, potongan pokok tersebut kini berada dalam pemantauan rapi kontraktor utama sebelum kerja-kerja menanam dijalankan apabila pihaknya telah mendapat kebenaran Jabatan Perhutanan.
Katanya, langkah menanam semula atau menimbus potongan pokok berkenaan akan dibuat dalam masa terdekat sebagai sebahagian daripada pengurusan alam sekitar di tapak pembinaan.
“Kita akan membuat proses pemotongan sebelum menanam semula sisa pokok berkenaan di kawasan tanah di lokasi sama tempat pohon itu sebelum ia ditebang. Kita akan mengambil tindakan tersebut kerana pihak Jabatan Perhutanan telah memberi kebenaran,” katanya.
Kosmo! Online semalam melaporkan, sebatang pokok tualang setinggi 60 meter berusia lebih 120 tahun dan dikatakan ‘kebal’ kerana berpenunggu berhampiran Kampung Sungai Bayu di sini akhirnya ditebang untuk pembinaan Jalan LTU Pakej 2A.
Penebangan pokok dengan lilitan batang sebesar tiga pemeluk itu mengambil masa selama hampir tiga tiga jam bermula pukul 9.15 pagi melibatkan 40 petugas.
Fizal Irwan berkata, pokok itu ditebang selepas mendapat kebenaran Jabatan Perhutanan ekoran kedudukannya tepat di laluan jajaran jalan yang menghalang kerja pembinaan. – KOSMO! ONLINE
The post Potongan pokok tualang ‘kebal’ ditanam semula di kawasan projek LTU appeared first on Kosmo Digital.