Sunway Pyramid lakar sejarah pusat beli-belah pertama dapat sijil SIRIM 55

Sunway24okt bhfield image listing featured v2. Var 1761293630

KUALA LUMPUR: Sunway Malls mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju kelestarian dalam sektor peruncitan apabila Sunway Pyramid muncul sebagai pusat beli-belah pertama di Malaysia menerima pensijilan SIRIM 55, satu pengiktirafan berprestij yang menilai aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Pensijilan itu meletakkan Sunway Pyramid antara 16 organisasi pertama di negara ini yang memperoleh pengiktirafan daripada SIRIM QAS International, sekali gus menetapkan penanda aras baharu bagi pelaksanaan amalan lestari dalam industri pusat beli-belah tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Malls, HC Chan, berkata pencapaian bersejarah itu membuktikan komitmen kumpulan terhadap pelaksanaan prinsip ESG yang menjadi tunjang kepada pertumbuhan mampan, etika perniagaan dan kepercayaan pelanggan.

Beliau berkata, pensijilan SIRIM 55 bukan sekadar pengiktirafan, sebaliknya lambang kesungguhan Sunway Malls untuk melaksanakan tanggungjawab sosial korporat dengan memastikan keseimbangan antara keuntungan, kemajuan dan pemeliharaan alam sekitar.

“ESG merupakan bahagian yang amat penting dan teras dalam perniagaan masa kini. Komitmen kami terhadap ESG adalah suatu ikatan kepercayaan dengan pekerja, pelanggan dan komuniti.

“Inilah cara kami untuk memastikan pertumbuhan yang inklusif, beretika dan mampan untuk setiap pihak kepentingan. Justeru, Sunway Malls teguh dalam melaksanakan inisiatif kelestarian,” katanya.

Selain pensijilan SIRIM 55, Sunway Malls turut menerima pelbagai pensijilan antarabangsa termasuk ISO 14001 bagi Pengurusan Alam Sekitar, ISO 45001 bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan serta ISO 9001 bagi Pengurusan Kualiti.

Pengiktirafan itu menegaskan usaha Sunway Malls mengekalkan piawaian antarabangsa dalam operasi harian bagi memastikan persekitaran lebih hijau, selamat dan mampan di seluruh rangkaian pusat beli-belahnya.

Bersempena sambutan Hari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Sunway Malls turut melancarkan kempen nasional bertemakan ‘From This to That’ yang berlangsung dari 22 Oktober hingga 9 November 2025 di beberapa lokasi termasuk Sunway Pyramid, Sunway Velocity Mall, Sunway Big Box dan Sunway Kluang Mall.

Kempen itu bertujuan menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup hijau berasaskan konsep kitar semula, guna semula dan bayang semula, sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang digariskan oleh PBB.

Bagi memperkukuh gerakan kelestarian, Sunway Malls turut memperkenalkan mesin ‘Food Digester’ pertama di Malaysia yang kini beroperasi di Sunway Velocity Mall dan bakal diperluas ke Sunway Pyramid menjelang akhir tahun inil.

Mesin itu berfungsi menukar sisa makanan kepada cecair kelabu yang lebih mesra alam, berbeza daripada sistem ‘food composter’ yang menghasilkan baja tanah.

Cecair itu juga berpotensi digunakan semula sebagai baja cecair melalui kerjasama dengan pakar industri, sejajar dengan usaha kumpulan mengurangkan sisa makanan, yang dikenal pasti sebagai antara penyumbang utama dalam pengurusan sisa di negara ini.

Sunway Malls juga memperkenalkan pelbagai inovasi hijau lain termasuk Sistem Parkir Pintar tanpa tiket, tandas pintar, basikal elektrik (EV), sistem tadahan air hujan dan pemasangan panel solar bumbung bagi meningkatkan kecekapan tenaga serta mengurangkan pelepasan karbon.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Related Articles