Mesyuarat majlis pembangunan usahawan dan pmks kebangsaan mpupk 1024x618 1

Sekretariat Tetap MPUPK pastikan dana disalur beri kesan pembangunan usahawan

Mesyuarat majlis pembangunan usahawan dan pmks kebangsaan mpupk

PUTRAJAYA – Sekretariat Tetap Majlis Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Kebangsaan (MPUPK) akan diwujudkan bagi menyelaras pertindihan fungsi serta peranan dalam koordinasi pembangunan ekosistem usahawan dan PMKS.

Menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, sekretariat tersebut akan diketuai oleh SME Corp dan akan bermesyuarat setiap bulan dengan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Mesyuarat hari ini telah membincangkan lima kertas pembentangan dengan keputusan yang dipersetujui adalah supaya satu sekretariat penyelarasan ditubuhkan dengan SME Corp sebagai ketua sekretariat.

“Tujuannya adalah untuk memastikan supaya semua dana yang disalurkan kepada setiap agensi itu memberikan kesan dan implikasi besar kepada pembangunan usahawan negara,” katanya selepas mesyuarat MPUPK Bilangan 1 Tahun 2024 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ewon berkata, mesyuarat berkenaan turut meluluskan panduan pantas ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus) untuk PMKS dan Pelan Strategik PMKS 2030.

Jelas beliau, Pelan Strategik PMKS 2030 yang dibangunkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) bertujuan sebagai hala tuju baharu PMKS dalam pembangunan ekonomi Malaysia.

Ujarnya, pelan berkenaan memberi penekanan kepada aspek pengukuhan ekosistem inovasi keusahawanan kondusif dan persekitaran perniagaan yang mesra PMKS.

Katanya, panduan pantas ESG pula adalah untuk mengenal pasti kriteria asas bagi penerapan amalan ESG oleh PMKS yang merangkumi lapan langkah mudah. – KOSMO! ONLINE

The post Sekretariat Tetap MPUPK pastikan dana disalur beri kesan pembangunan usahawan appeared first on Kosmo Digital.