Ewon tengah 1024x768 1

Pencarian 50 PMKS terbaik Malaysia bermula

Ewon tengah

KUALA LUMPUR – Pencarian 50 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) terbaik di Malaysia kini bermula selepas Anugerah Enterprise 50 (E50) 2024 dilancarkan hari ini.

Bertemakan ‘Meraikan Semangat Keusahawanan Malaysia’, Anugerah E50 anjuran SME Corporation (SME Corp) ini berlangsung kali ke-24 sejak diperkenalkan pada tahun 1997.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop), Datuk Ewon Benedick, berkata, Anugerah E50 memfokuskan PMKS tempatan yang menghasilkan produk dan perkhidmatan berkualiti untuk pasaran dalam dan luar negara.

Ujarnya, anugerah ini merupakan satu mekanisme penilaian dan pengiktirafan kepada PMKS yang mampu mendorong perubahan ke arah peningkatan daya saing untuk meningkatkan sumbangan kepada ekonomi negara.

“Tahun ini kita sasarkan semua golongan tak kira latar belakang untuk sertai, sama ada wanita, belia atau pun PMKS di kawasan pedalaman. Kita buka pendaftaran seluas-luasnya.

“Kita juga perkenalkan anugerah khas baharu iaitu Anugerah bagi Amalan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) bagi memperakui syarikat PMKS yang menjadikan ESG sebagai agenda utama dalam perniagaan.

“Saya berharap Anugerah E50 tahun ini akan menyemarakkan lagi semangat juang PMKS untuk cipta kejayaan yang lebih besar,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Anugerah E50, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, ujarnya, Sistem Bersepadu Penarafan dan Insentif PMKS (Sistem MyBPI) juga berjaya dibangunkan bagi membolehkan para PMKS memohon bantuan kewangan secara dalam talian selain mendaftar status PMKS.

“Para PMKS juga boleh melaksanakan Program Penilaian Penarafan Daya Saing PKS bagi Peningkatan (SCORE) di dalam Sistem MyBPI selain membuat permohonan bagi Anugerah E50 sebelum tarikh tutup 30 Jun,” katanya.

Sehingga kini, seramai 2,225 PMKS telah meyertai Program ini dan 763 syarikat telah menerima Anugerah E50.

Daripada jumlah tersebut, 67 pemenang telah berjaya tersenarai di pasaran modal serta berjaya melaskan pasaran di dalam dan di luar negara.

Selain itu, pemenang-pemenang ini juga berhak menggunakan logo Anugerah E50 dan juga mendapat keutamaan program di bawah SME Corp. – KOSMO! ONLINE

The post Pencarian 50 PMKS terbaik Malaysia bermula appeared first on Kosmo Digital.