SFC 2026 bincang tentang ekosistem makanan, masa depan lebih lestari
PETALING JAYA – Program Sustainable Food Camp 2026 (SFC 2026) anjuran Sustainable Food Asia Sdn Bhd (Sustainable Food Asia) di Genting Highlands, Pahang baru-baru ini, telah menjadi platform bagi para pemain, usahawan dan kumpulan sasaran untuk membincangkan tentang ekosistem makanan serta masa depannya.
Melalui tema “Co-Creation for the Future Food Ecosystem” , kem tersebut telah berjaya menghimpunkan seramai 143 peserta dari lapan buah negara dan 74 syarikat untuk melaksanakan pelbagai dialog rentas sempadan, kerjasama dan tindakan ke arah masa depan makanan yang lebih lestari.
Ketua Pegawai Eksekutif Sustainable Food Asia, Chiam Boon Lee berkata, SFC 2026 berfungsi sebagai platform yang mana pelbagai pihak berkepentingan dari seluruh Asia berkumpul bukan sahaja untuk bertukar idea, tetapi juga membina perkongsian bermakna dan laluan praktikal untuk pelaksanaan.
“Masa depan makanan tidak boleh dibina oleh satu syarikat, satu teknologi, atau satu negara sahaja. Ia memerlukan kerjasama merentas sektor dan sempadan, dan SFC 2026 direka untuk menjadikan hubungan itu berlaku dengan cara yang bermakna,” katanya pada majlis tersebut baru-baru ini.
SFC 2026 berbeza daripada persidangan tradisional dan ia memberi keutamaan kepada hasil nyata melalui sesi perbincangan, bengkel berfokus dan padanan perniagaan yang dikurasi.

Selain itu, ia juga memberi tumpuan kepada tiga keutamaan serantau yang mendesak iaitu Akses Kesihatan, Tanggungjawab Sosial, dan Penambahbaikan Alam Sekitar.
Tambah Boon Lee, agenda ini melibatkan perbincangan panel, sesi jaringan dan kolaborasi sepanjang hari, dengan fokus kepada isu-isu mendesak dalam sistem makanan hari ini iaitu daripada meningkatkan akses pemakanan, mengurangkan pembaziran makanan melalui penyelesaian kitaran, hinggalah membina sistem makanan yang lebih inklusif dan berdaya tahan.
Antara sorotan utama SFC2026 adalah penyertaan pemimpin daripada pelbagai sektor dan negara, mencerminkan kepentingan yang semakin meningkat bagi kerjasama rentas sempadan dalam membentuk ekosistem makanan masa depan Asia.-KOSMO! ONLINE
The post SFC 2026 bincang tentang ekosistem makanan, masa depan lebih lestari appeared first on Kosmo Digital.