Tanggapan lapuk punca orang ramai bimbang terhadap WTE, kata pakar

PETALING JAYA: Kebanyakan rakyat Malaysia bersetuju negara memerlukan sistem pengurusan sisa yang lebih baik, namun sokongan itu sering berkurangan apabila kemudahan berkenaan dicadangkan berhampiran kawasan kediaman mereka.
Sikap itu dikenali sebagai NIMBY, singkatan bagi “not in my backyard” atau “bukan di halaman belakang saya”, yang merujuk bantahan penduduk terhadap sesuatu pembangunan di kawasan mereka atas kebimbangan mengenai pencemaran, kesesakan lalu lintas atau keselamatan.
Ini berlaku walaupun mereka mengakui kemudahan berkenaan diperlukan dan boleh dibangunkan di lokasi lain.
Pakar kejuruteraan alam sekitar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Marfiah Wahid berkata kebimbangan itu banyak dipengaruhi pengalaman lalu dengan kemudahan pengurusan sisa, termasuk masalah bau, kesesakan lori, bunyi bising, air larut resap dan penguatkuasaan yang lemah.

Katanya, lokasi yang dicadangkan bagi sesetengah projek, termasuk bekas kawasan perlombongan, selain skala pembangunan dan kemungkinan kesan terhadap kesihatan, turut menambahkan kebimbangan orang ramai.
“Saya rasa masyarakat Malaysia sangat bimbang. Mereka mempunyai tanggapan sangat negatif terhadap projek sisa kepada tenaga atau WTE kerana ia berdasarkan pengalaman kita sendiri,” katanya kepada FMT.
Marfiah berkata ramai masih menyamakan kemudahan WTE dengan insinerator konvensional, walaupun teknologi dan langkah perlindungan alam sekitar yang digunakan sangat berbeza.
“WTE sangat berbeza daripada insinerator konvensional, tetapi orang ramai menganggap ia perkara sama dengan nama berbeza,” katanya.
Beliau berkata kemudahan WTE moden bukan sahaja direka untuk melupuskan sisa, malah menghasilkan tenaga berguna seperti elektrik atau biogas.
Kebimbangan penduduk ada asasnya
Bagaimanapun, Marfiah berkata bantahan orang ramai tidak seharusnya diketepikan begitu sahaja kerana sebahagian kebimbangan mereka mempunyai asas.
Penduduk lazimnya bimbang mengenai habuk, pertambahan lalu lintas akibat pergerakan kenderaan berat dan kemungkinan kesan jangka panjang terhadap kesihatan, terutama apabila kemudahan dicadangkan berhampiran kawasan perumahan.
Katanya, penduduk juga mahukan maklumat lebih jelas mengenai tahap pelepasan yang dijangka, pelan tindak balas kecemasan dan kaedah pemantauan operasi.
Beliau berkata proses rundingan perlu dimulakan pada peringkat awal dan diteruskan sepanjang tempoh pelaksanaan projek.
“Pemaju projek perlu bersikap terbuka kepada orang ramai dan sentiasa memaklumkan mereka mengenai langkah kawalan serta usaha mengurangkan kesan yang akan dilaksanakan,” katanya.
Bagi menangani kebimbangan itu, Marfiah berkata pemaju dan pihak berkuasa perlu bersikap telus mengenai langkah mengawal pelepasan, laluan pengangkutan sisa dan usaha mengurangkan kesan terhadap alam sekitar.
Walaupun kebimbangan penduduk harus diberi perhatian, beliau mengingatkan bahawa menolak semua kemudahan pengurusan sisa yang dicadangkan juga membawa kesan terhadap alam sekitar dan ekonomi.
Malaysia menghasilkan kira-kira 39,000 tan sisa setiap hari dan jumlah itu terus meningkat setiap tahun.
Walaupun kadar kitar semula semakin baik, sebahagian besar sisa masih dibuang ke tapak pelupusan.
“Sekiranya kita tidak mahu menggunakan tapak pelupusan, apakah penyelesaian lain? Salah satu pilihannya ialah WTE,” katanya.
Marfiah berkata antara mekanisme utama untuk menangani kebimbangan masyarakat ialah proses penilaian impak alam sekitar (EIA).
EIA dijalankan sebelum sesuatu projek dilaksanakan bagi mengenal pasti kemungkinan kesan terhadap alam sekitar, sosial dan kesihatan, serta menentukan langkah yang perlu diambil untuk mengurangkannya.
Proses itu lazimnya melibatkan kajian teknikal, semakan pihak berkuasa serta mendapatkan pandangan orang ramai.
Sesebuah projek juga biasanya melalui beberapa pusingan semakan sebelum diluluskan, terutama jika pihak berkuasa meminta maklumat tambahan atau penambahbaikan terhadap langkah perlindungan alam sekitar.
Semua proses ini sememangnya diwajibkan di bawah peraturan di Malaysia.
Marfiah berkata, projek WTE di Malaysia tidak boleh diteruskan daripada peringkat perancangan tanpa EIA yang terperinci.
Selain penilaian teknikal dan semakan pihak berkuasa, pemaju juga wajib mendapatkan maklum balas orang ramai serta menyediakan langkah bagi mengurangkan kesan projek terhadap alam sekitar, katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pemaju loji WTE di Malaysia perlu mematuhi piawaian pelepasan yang sangat ketat ditetapkan Jabatan Alam Sekitar (JAS).