Udara Kuching tahap tidak sihat, IPU cecah 271

Lead pg3 050926 ptj agong perkenan darurat done

Lead pg3 050926 ptj agong perkenan darurat done

PETALING JAYA: Enam kawasan di Sarawak merekodkan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap sangat tidak sihat dengan Kuching mencatat bacaan tertinggi iaitu 271.

Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) setakat pukul 5 petang, lima kawasan lain yang turut berada pada tahap sangat tidak sihat ialah Serian dengan bacaan 243, Sri Aman (237), Samarahan (211), Bintulu (210) dan Samalaju (208).

Sementara itu, sebanyak 25 kawasan di seluruh negara merekodkan IPU pada tahap tidak sihat dengan bacaan antara 101 hingga 200.

Daripada jumlah itu, tujuh kawasan di Sarawak ialah ILP Miri dengan bacaan 191, Mukah (189), Miri (184), Sarikei (180), Sibu (176), Limbang (162) dan Kapit (152).

Di Sabah, Kimanis merekodkan IPU 170 dan Kota Kinabalu (157), manakala Labuan turut mencatatkan bacaan 170.

Di Semenanjung, Johan Setia, Selangor mencatatkan bacaan 159, diikuti Bukit Rambai, Melaka dan Tangkak, Johor masing-masing 158 serta Batu Pahat (157).

Nilai, Negeri Sembilan dan Segamat, Johor masing-masing merekodkan bacaan 156, manakala Seremban, Negeri Sembilan; Alor Gajah, Melaka serta Kluang, Johor masing-masing mencatatkan IPU 155.

Larkin, Johor merekodkan bacaan 152, manakala Putrajaya mencatatkan 151.

Turut berada pada tahap tidak sihat ialah Balok Baru Kuantan, Pahang dengan bacaan 149; Port Dickson, Negeri Sembilan (114); Bandaraya Melaka (111) dan Banting, Selangor (108).

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, situasi jerebu yang melanda beberapa kawasan di negara ini berlaku susulan cuaca kering berterusan di sebahagian rantau selatan ASEAN.

Berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC), sebanyak 139 titik panas dikesan di Kalimantan dan 138 di Sumatera, manakala 16 titik panas direkodkan di Malaysia membabitkan lima di Sabah, sembilan di Sarawak dan dua di Terengganu.

ASMC turut melaporkan jerebu sederhana hingga tebal dikesan bergerak ke arah timur laut dari Kalimantan menuju beberapa kawasan di Sarawak, Sabah dan Brunei.

Susulan keadaan itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (SDMC) sedang memantau situasi jerebu di seluruh negeri, khususnya bacaan IPU di kawasan terjejas.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebelum ini turut memaklumkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) menetapkan aktiviti luar bilik darjah dihentikan apabila IPU melebihi 100, manakala sekolah, tadika dan taska ditutup sekiranya bacaan melebihi 200.

Operasi Pembenihan Awan pula boleh dilaksanakan, tertakluk kepada kehadiran awan dan keadaan cuaca sesuai, sekiranya IPU melebihi 150 selama lebih 24 jam. – UTUSAN

The post Udara Kuching tahap tidak sihat, IPU cecah 271 appeared first on Utusan Malaysia.

Related Articles