Bh26denda o bhfield image listing featured v2. Var 1732593425

Gagal lantik pegawai keselamatan dan kesihatan, syarikat pembinaan didenda RM4,000

bhnews@bh.com.my

GEORGETOWN: Sebuah syarikat pembinaan dijatuhi hukuman denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam, kerana gagal melantik pegawai keselamatan dan kesihatan.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dalam kenyataan berkata, syarikat Kerjaya Prospek (M) Sdn Bhd, mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Azlan Basri.

Katanya, kesalahan didakwa dilakukan mengikut Seksyen 29(2) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

“Syarikat itu mengaku salah sebagai penghuni suatu tempat kerja yang gagal mengambil kerja seorang yang kompeten untuk bertindak sebagai Pegawai Keselamatan dan Kesihatan berdaftar dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan di tempat kerja, bagi kerja pengendalian bangunan dengan jumlah kontrak projek melebihi RM20 juta.

“Kesalahan itu didakwa dilakukan ketika pemeriksaan mengejut pegawai JKKP Pulau Pinang pada 7 Februari lalu di tapak pembinaan di Pulau Andaman,” katanya.

Sehubungan itu, JKKP berharap kes itu dapat memberi pengajaran kepada semua majikan dan pekerja supaya mematuhi undang-undang demi keselamatan pekerja dan kepentingan awam.

© New Straits Times Press (M) Bhd