JKKP Pulau Pinang jalankan siasatan susulan di tapak kejadian runtuhan
BAYAN LEPAS: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang menjalankan siasatan susulan di lokasi kejadian runtuhan tiang rasuk di tapak pembinaan sebuah gudang di Batu Maung, dekat sini kelmarin.
Pengarahnya, Hairozie Asri berkata, siasatan susulan di tapak pembinaan itu turut dihadiri pasukan dari Bahagian Kejuruteraan Forensik JKKP Malaysia.
Ujar beliau, notis pemberhentian serta-merta ke atas semua kerja-kerja di tapak pembinaan gudang tersebut telah dikeluarkan dan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian turut diadakan.
”Siasatan yang dijalankankan adalah menjurus kepada Seksyen 15, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 iaitu berkaitan dengan tanggungjawab majikan terhadap keselamatan dan kesihatan pekerjanya semasa aktiviti kerja dijalankan.
“Susulan tiga pekerja warga Bangladesh maut akibat dari tragedi runtuhan di tapak pembinaan gudang ini, majikan bakal berdepan tindakan perundangan sekiranya didapati terdapat pelanggaran di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 ke atas pihak yang bertanggungjawab,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, JKKP juga telah mengarahkan majikan untuk melantik penyiasat bebas untuk mengenal pasti punca kejadian dan menilai kualiti struktur pembinaan di tapak pembinaan tersebut.
Tegas beliau, pihaknya hanya akan membatalkan notis yang dikeluarkan sekiranya semua bukti-bukti di tempat kejadian telah diperoleh dan berpuas hati dengan langkah pembaikan dan kawalan yang akan diambil bagi mengelakkan kemalangan seumpama itu berulang.
“Adalah menjadi tanggungjawab majikan di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 untuk memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja termasuk di tapak pembinaan,” katanya.
Tambahnya, majikan yang mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja perlu membuat analisa risiko dan mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum sebarang aktiviti kerja dijalankan.
Ujar beliau, ia bagi menghapus atau mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan orang awam serta mengelakkan berlakunya kemalangan semasa aktiviti kerja dijalankan.
”Kita memandang serius setiap kemalangan dan penyakit pekerjaan berpunca daripada aktiviti pekerjaan di semua sektor termasuk di sektor pembinaan,” katanya. – UTUSAN
The post JKKP Pulau Pinang jalankan siasatan susulan di tapak kejadian runtuhan appeared first on Utusan Malaysia.