Kltoko o hmfield image listing featured v2. Var 1704210868

Kemalangan pesawat di Tokyo, Wisma Putra dapatkan maklumat penumpang

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kementerian Luar sedang mendapatkan maklumat sama ada terdapat rakyat Malaysia yang terbabit kemalangan pesawat di Lapangan Terbang Haneda Tokyo, hari ini.

Kementerian itu dalam kenyataan malam ini berkata, Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo sedang berhubung dengan pegawai Japan Airlines serta pihak berkuasa Jepun.

“Kementerian akan menghulurkan bantuan sewajarnya jika ada rakyat Malaysia yang terkesan insiden itu.

“Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di alamat 20-16 Nanpeidai-cho, Shibuya-ku, 150-0036 Tokyo atau menghubungi talian +81-3-3476-3840 atau +8180-3913-3840 (kecemasan) atau emel di mwtokyo@kln.gov.my dan consular.tyo@kln.gov.my,” katanya.

Malaysia turut menzahirkan simpati dan ucapan takziah kepada mangsa serta keluarga yang terjejas termasuk kerajaan Jepun.

Terdahulu, media tempatan melaporkan lima anak kapal Pengawal Pantai Jepun terbunuh apabila pesawat yang mereka naiki berlanggar dengan pesawat Japan Airlines di Lapangan Terbang Haneda Tokyo.

Pesawat pengawal pantai itu membawa barangan bantuan untuk kawasan yang dilanda gempa bumi di Wilayah Niigata selepas beberapa siri gegaran sehingga 7.6 magnitud melanda tengah Jepun pada petang Isnin, lapor penyiar awam NHK memetik Pengawal Pantai Jepun.

Sementara itu, kesemua 379 penumpang dan anak kapal Japan Airlines berjaya diselamatkan.

© New Straits Times Press (M) Bhd