Paip gas milik PETRONAS di seluruh jajaran masih selamat – Abdul Rahman
KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad mengesahkan tahap keselamatan sistem talian paip gas milik PETRONAS di seluruh jajaran di Malaysia masih selamat.
Beliau berkata, jaminan itu susulan siasatan menyeluruh yang dilakukan dengan sistem talian paip gas disahkan mengikut standard ditetapkan piawaian antarabangsa yang diiktiraf.
“Kementerian melalui Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) sentiasa komited memastikan tahap keselamatan tinggi bukan saja kepada pekerja, malah turut memberi keutamaan kepada keselamatan orang awam,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) mengenai keputusan punca letupan paip gas Petronas di Putra Heights, dekat sini serta jaminan kerajaan terhadap kawasan dan sistem paip gas Malaysia masih selamat.
Mengulas lanjut, beliau berkata JKKP sudah mengarahkan operator paip gas segera melaksanakan langkah kawalan dan penambahbaikan bagi memastikan operasi paip gas kekal selamat dan berintegriti tinggi.
Antara tindakan sudah dan sedang diambil, katanya dengan meningkatkan kekerapan rondaan paip gas, khususnya di kawasan berisiko tinggi dan padat penduduk.
Turut dijalankan, penilaian teknikal paip gas menggunakan teknologi terkini seperti ‘Geo-Pipeline Inspection Gauge dan Electromagnetic Locator’, terutama di kawasan berpenduduk padat seperti ditetapkan dalam piawaian antarabangsa ASME B31.8.
“(Turut dilaksana) mengemas kini penilaian risiko geoteknikal dan sistem saliran di kawasan paip untuk mengenal pasti potensi bahaya awal serta memasang sistem pemantauan masa nyata untuk mengesan sebarang perubahan luar biasa dalam operasi paip,” katanya.
Selain itu, beliau berkata penambahbaikan turut dilakukan dengan menambah bilangan peranti pengesanan di lokasi kritikal untuk pemantauan keselamatan berterusan.
“(Kita juga) meningkatkan latihan dan kesiapsiagaan kecemasan, termasuk mengkaji semula pelan tindakan kecemasan sedia ada, serta melaksanakan kempen kesedaran keselamatan kepada orang awam, supaya masyarakat lebih peka dan dapat melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan di sekitar laluan paip,” katanya.
Pada 30 Jun lalu, Pengarah Bahagian Keselamatan Petroleum Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Husdin Che Amat memaklumkan insiden paip gas bawah tanah yang meletup di Putra Heights pada 1 April lalu, dikenal pasti berpunca faktor dalam tanah, bukannya akibat aktiviti di permukaan tanah.
Beliau menjelaskan bahagian tanah paip berkenaan dikenal pasti berada dalam keadaan lembut dan lembap.
Tambah beliau, siasatan teknikal yang dijalankan mendapati penggunaan paip gas berkenaan didapati memenuhi spesifkasi teknikal ditetapkan, namun bahagian bawah paip itu didapati tidak disokong sepenuhnya oleh tanah.
Keadaan itu, katanya mengakibatkan kegagalan fizikal pada bahagian paip di lokasi kejadian, sehingga menyebabkan kebocoran gas yang kemudiannya terbakar.
JKKP menjalankan siasatan menyeluruh selama hampir tiga bulan bersama beberapa agensi lain susulan kejadian yang menjejaskan keselamatan awam, merosakkan infrastruktur dan menyebabkan gangguan bekalan gas serta elektrik di beberapa kawasan.
© New Straits Times Press (M) Bhd