Sock Tao angkat sumpah ADUN Kuala Kubu Baharu
SHAH ALAM – Pang Sock Tao mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Majlis angkat sumpah dan menandatangani surat sumpah tersebut dibuat di hadapan Speaker DUN negeri, Lau Weng San.
Sock Tao, 31, memaklumkan dia berasa teruja dan satu penghormatan dapat mewakili masyarakat di KKB seterusnya berterima kasih terhadap sokongan diberikan pengundi sebelum ini.
“Agak berdebar dan teruja serta kadangkala tidak percaya bagaimana saya sampai ke sini (jadi ADUN).
“Saya akan bekerja sekerasnya dan cuba sedaya upaya membawa suara rakyat ke Dewan DUN,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Beliau turut memaklumkan telah menghantar soalan-soalan lisan bagi sidang kali ini termasuk pembangunan industri di kawasan Serendah dan Hulu Selangor selain perancangan tahun melawat Selangor 2025 serta menangani pencemaran yang wujud di KKB.
Tambahnya, dia juga telah menyewa sebuah rumah di Batang Kali sejak seminggu lalu bagi memudahkan segala urusannya di KKB.
“Saya meluangkan empat hari seminggu bagi bertemu dengan komuniti dan mendengar permasalahan dihadapi masyarakat KKB,” jelasnya.
Pada PRK tersebut, Sock Tao menewaskan tiga pencabarnya iaitu calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut, Hafizah Zainuddin mewakili Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan seorang calon Bebas, Nyau Ke Xin.
Beliau memperoleh sebanyak 14,000 undi dengan majoriti 3,869.
PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser. -KOSMO!ONLINE
The post Sock Tao angkat sumpah ADUN Kuala Kubu Baharu appeared first on Kosmo Digital.