Spekulasi bubar DUN Johor bertiup kencang, mungkin 24 Jun ini

Dun johor spekulasi 1024x682 1

Dun johor spekulasi

JOHOR BAHRU – Spekulasi pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) semakin bertiup kencang susulan dakwaan satu sidang khas DUN akan diadakan pada 24 Jun ini.

Difahamkan, mesej meminta kesemua 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bersiap sedia menghadiri sidang khas tersebut mula tular menerusi aplikasi WhatsApp hari ini.

Perkembangan itu hadir hanya sehari selepas Menteri Besar Johor merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan BN akan bertanding secara solo di kesemua 56 kerusi DUN pada PRN Johor akan datang.

Bagaimanapun, beberapa ADUN kerajaan negeri memaklumkan setakat ini mereka belum menerima sebarang surat rasmi daripada pejabat jurutulis DUN berhubung sidang khas tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor yang juga ADUN Yong Peng, Ling Tian Soon berkata, beliau ada menerima maklumat mengenai tarikh berkenaan, namun tiada arahan rasmi dikeluarkan setakat ini.

“Saya baru bertemu Onn Hafiz pagi tadi dalam satu program di Tasik Merdeka. Ya, saya ada baca mesej tular mengenai 24 Jun itu.

“Setakat ini memang tiada sebarang arahan atau surat rasmi. Keadaan di Johor baik-baik sahaja selepas Onn Hafiz umum BN akan tanding 56 DUN semalam,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, ADUN Pemanis, Anuar Abd Manap berkata, beliau bersedia menghadiri sidang khas sekiranya menerima arahan rasmi daripada pihak berkuasa DUN.

“Jika ada arahan rasmi untuk kami hadir bersidang, maka saya akan hadir dan bersiap sedia. Setakat ini belum ada surat rasmi daripada pejabat jurutulis mengenai sidang khas DUN ini.

“Biasanya kami akan menerima makluman secara bertulis daripada pejabat mereka mengenai perkara ini. Selagi belum ada kenyataan rasmi, saya tidak boleh nafi atau sahkan,” katanya.

Terdahulu, semalam Onn Hafiz mengumumkan BN Johor akan bertanding di semua 56 kerusi DUN selepas mengambil kira suara dan harapan kepimpinan akar umbi BN serta UMNO Johor.

PRN Johor ketika ini masih berbaki kira-kira setahun selepas mandat kerajaan negeri hanya dijangka tamat pada April 2027.

Tahun lalu, Onn Hafiz turut menegaskan kerajaan negeri tidak bercadang mengadakan PRN lebih awal kerana mahu memberi fokus kepada pembangunan ekonomi dan infrastruktur negeri.

Pada PRN Johor 2022, BN memperoleh majoriti dua pertiga selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN, diikuti Pakatan Harapan (12), Perikatan Nasional (tiga) dan MUDA (satu). – KOSMO! ONLINE

The post Spekulasi bubar DUN Johor bertiup kencang, mungkin 24 Jun ini appeared first on Kosmo Digital.

Related Articles