800kg pakaian terpakai untuk mangsa banjir
SHAH ALAM – Hampir 800 kilogram (kg) pakaian terpakai berjaya dikumpul untuk diagihkan kepada mangsa banjir di negara ini.
Pengumpulan pakaian itu dilakukan menerusi Program Pengumpulan Pakaian Terpakai anjuran Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) dengan kerjasama Pelitawanis Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Pengarah PSA, Zainah Rujihan berkata, inisiatif tersebut merupakan satu usaha murni bertujuan memupuk kesedaran tentang pentingnya amalan kitar semula serta menyokong inisiatif kelestarian alam.
Katanya, kesemua pakaian yang dikumpulkan sepanjang seminggu kempen bermula 8 November tersebut akan dihantar ke kilang yang menguruskan pakaian terpakai serta sebagai persediaan untuk diagihkan kepada mangsa banjir.
“Setiap tahun industri fesyen menghasilkan berjuta-juta tan pakaian.
“Namun malangnya, sebahagian besar daripada pakaian ini berakhir di tempat pelupusan sampah,” katanya hari ini.
Jelas beliau, tindakan ini bukan sahaja suatu pembaziran malah memberi kesan yang besar terhadap alam sekitar.
Timbalan Pengerusi 1 Pelitawanis TNB Cawangan Glenmarie, Fareeza Osman, menegaskan, inisatif tersebut secara tidak langsung menyokong Agenda Kelestarian dan aktiviti aspek sosial, alam sekitar, governan atau tata kelola dan ekonomi (ESG).
“Ini juga secara langsung memperkukuhkan hubungan erat antara Pelitawanis TNB dengan komuniti setempat termasuk institusi pendidikan seperti PSA,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post 800kg pakaian terpakai untuk mangsa banjir appeared first on Kosmo Digital.