10,000 penduduk berdepan risiko ‘bom jangka’

Whatsapp image 2026 08 09 at 13. 13. 46 1024x570 1

Whatsapp image 2026 08 09 at 13. 13. 46

JOHOR BAHRU – Kira-kira 10,000 penduduk daripada empat kampung di Kempas di sini berdepan risiko keselamatan apabila sebuah premis barangan lusuh di Jalan Kempas Lama-Seelong dipercayai melakukan pembakaran terbuka hanya kira-kira 12 meter dari saluran paip gas.

Lebih membimbangkan, kegiatan pembakaran itu didakwa berlaku hampir setiap hari terutama pada waktu malam, menyebabkan penduduk hidup dalam kebimbangan sekiranya api merebak dan mencetuskan kejadian lebih buruk sehingga diibaratkan sebagai ‘bom jangka’.

Penduduk mendakwa premis berkenaan turut beroperasi tanpa lesen sah, selain mengundang pencemaran asap, bau kurang menyenangkan dan kehadiran lalat akibat aktiviti lain yang dijalankan di kawasan tersebut.

Ketua Kampung Sri Aman, Rafizal Ahmad Razi, 47, berkata pihaknya menerima aduan penduduk berhubung kegiatan pembakaran terbuka itu sejak Mac lalu, termasuk dakwaan beberapa kanak-kanak mengalami sesak nafas akibat asap.

Katanya, beberapa aduan dan susulan sudah dibuat kepada pihak berkuasa termasuk Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) melalui ahli majlis serta Jabatan Alam Sekitar (JAS), namun penduduk masih bimbang apabila aktiviti di premis berkenaan didakwa berterusan.

“Penduduk mengeluh kerana ada anak mereka mengalami sesak nafas dan terdapat bau sesuatu yang terbakar.

“Bagaimanapun, selepas tempoh dua minggu yang diberikan untuk mengosongkan dan membersihkan premis, penduduk melihat semakin banyak lori masuk ke kawasan berkenaan,” katanya ketika ditemui di lokasi, hari ini.

Rafizal berkata, aduan kepada JAS turut dibuat menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) pada April lalu, namun penduduk mempersoalkan perkembangan tindakan susulan terhadap aduan berkenaan.

Menurutnya, kebimbangan utama penduduk adalah kedudukan premis yang terlalu hampir dengan saluran paip gas kerana sebarang kejadian tidak diingini dikhuatiri boleh mengancam keselamatan penduduk di kawasan sekitar.

“Penduduk sendiri selalu cakap, kalau berlaku letupan, bukan satu kawasan saja yang terjejas, malah boleh merebak ke kampung lain.

“Itulah kebimbangan utama kami kerana jaraknya saya difahamkan hanya kira-kira 12 meter daripada saluran paip gas,” katanya.

Sementara itu, penduduk, Khairul Amin Mahmodiah, 35, berkata pembakaran terbuka di premis berkenaan didakwa dilakukan hampir setiap hari terutama pada waktu malam.

“Kerisauan paling utama adalah saluran paip gas di sebelah premis. Walaupun pembakaran dibuat di bahagian tengah, dari luar kita boleh nampak api yang besar.

“Kita tidak mahu sesuatu yang buruk berlaku terlebih dahulu baru tindakan diambil. Kita mahu ia dicegah sebelum berlaku perkara lebih serius,” katanya.

Beliau turut mendakwa premis berkenaan menjalankan aktiviti penternakan ayam dan penyembelihan yang menyebabkan pencemaran bau serta kehadiran lalat di sekitar kawasan perumahan.

Penduduk berharap pihak berkuasa mengambil tindakan segera dengan menjalankan pemeriksaan menyeluruh terhadap premis berkenaan demi memastikan keselamatan kira-kira 10,000 penduduk di empat kampung terbabit tidak terus terancam.

“Kami tak mahu tragedi kebakaran paip gas di Putra Heights, Selangor pada 1 April tahun lalu yang memusnahkan 87 rumah dan merosakkan 148 kediaman lain berlaku di tempat kami,”katanya.-KOSMO! ONLINE

The post 10,000 penduduk berdepan risiko ‘bom jangka’ appeared first on Kosmo Digital.

Related Articles