12 kawasan catat IPU tidak sihat, Sri Aman masih tertinggi
![]()
PETALING JAYA – Sebanyak 12 kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat dengan Sri Aman, Sarawak mencatatkan bacaan tertinggi iaitu 163.
Berdasarkan paparan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), beberapa kawasan di Sarawak, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Johor berada dalam kategori tidak sihat.
Selepas Sri Aman, IPD Serian, Sarawak merekodkan IPU 162 manakala Nilai, Negeri Sembilan dan Samarahan, Sarawak masing-masing mencatatkan bacaan 161.
Turut mencatatkan bacaan tinggi ialah Cheras, Kuala Lumpur dengan IPU 158 diikuti Putrajaya (157) dan Seremban, Negeri Sembilan (156).
Di Selangor, dua kawasan berada pada tahap tidak sihat iaitu Shah Alam dan Johan Setia dengan kedua-duanya merekodkan bacaan IPU 155.
Batu Muda, Kuala Lumpur pula mencatatkan bacaan IPU 151 manakala Tangkak, Johor merekodkan bacaan 142.
Banting, Selangor menjadi kawasan dengan bacaan paling rendah dalam senarai lokasi berstatus tidak sihat iaitu IPU 112.
Sementara itu, Klang dan Petaling Jaya masih berada pada tahap sederhana dengan bacaan masing-masing 99 dan 96.
Antara kawasan lain yang mencatatkan IPU sederhana ialah Alor Gajah di Melaka, Segamat, Johor dan Kuching, Sarawak dengan masing-masing merekodkan bacaan 94.
Tanjung Malim dan Taiping di Perak pula masing-masing mencatatkan IPU 91 dan 90, manakala Batu Pahat, Johor berada pada bacaan 88.
Mengikut kategori IPU, bacaan antara 0 hingga 50 diklasifikasikan sebagai baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat dan melebihi 300 sebagai berbahaya.
Orang ramai boleh mengikuti perkembangan semasa kualiti udara menerusi sistem APIMS yang dikendalikan JAS. – KOSMO! ONLINE
The post 12 kawasan catat IPU tidak sihat, Sri Aman masih tertinggi appeared first on Kosmo Digital.