Kerajaan sedia isytihar darurat jika IPU lebih 400

PETALING JAYA: Kerajaan mungkin mencadangkan pengisytiharan darurat bagi kawasan yang mencatat bacaan indeks pencemaran udara (IPU) melebihi 400, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Arthur Joseph Kurup.
Beliau berkata bacaan IPU melebihi 400 yang dikategorikan sebagai ‘sangat berbahaya’ wajar dipertimbangkan untuk pengisytiharan darurat selaras dengan prosedur standard pengurusan jerebu. Setakat ini, hanya Serian merekodkan tahap berbahaya, manakala tahap sangat tidak sihat direkodkan di stesen pemantauan Kuching, Samarahan dan Sri Aman.
Katanya, pengisytiharan darurat di Serian yang dibuat pada Jumaat akan kekal berkuat kuasa sehingga IPU turun ke paras lebih selamat. Langkah keselamatan termasuk penutupan sekolah dan pemakaian pelitup muka.
Mengikut skala pencemaran udara Malaysia, bacaan 0 hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat dan melebihi 300 berbahaya.
Bacaan pencemaran udara di Serian mencecah paras tertinggi 512 pada Jumaat, namun terus menurun daripada 498 pada 8 malam semalam kepada 304 pada tengah hari dan 219 pada 8 malam ini. Sri Aman, Kuching dan Samarahan terus merekodkan tahap sangat tidak sihat.
Jabatan Pendidikan Sarawak menutup 647 sekolah rendah dan menengah dari 7 hingga 11 September, dengan pengajaran dan pembelajaran di rumah dilaksanakan sepanjang tempoh lima hari itu.
Kurup berkata operasi pembenihan awan yang dijalankan semalam di Sarawak, Kedah dan Perlis menunjukkan hasil positif, dengan beberapa kawasan menerima hujan dari petang semalam hingga awal pagi tadi.
Beliau berkata Malaysia turut menerima kebenaran bertulis daripada kerajaan Indonesia bagi membolehkan pesawat Malaysia memasuki ruang udara Indonesia untuk menjalankan operasi pembenihan awan.
Pusat Pemantauan Jerebu Asean melaporkan kepulan asap sederhana hingga tebal dikesan di utara Borneo, manakala kepulan asap sederhana hingga tebal turut dikesan berpunca daripada kelompok titik panas di banyak kawasan di Kalimantan dan Sumatera.