Peniaga kecil online 1024x682 1

MyCIF labur bersama RM289 juta dalam 3,587 PMKS tahun lalu

Peniaga kecil online

PETALING JAYA – Malaysia Co-Investment Fund (MyCIF) telah melabur bersama sebanyak RM289 juta ke dalam perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melalui platform pembiayaan alternatif pada tahun 2023, sekaligus memacu pertumbuhan dan meningkatkan daya saing kumpulan berkenaan.

MyCIF ialah dana pelaburan bersama yang ditubuhkan oleh Kementerian Kewangan (MoF) sempena Bajet 2019 untuk melabur bersama dalam PMKS melalui platform pendanaan ramai berasaskan ekuiti (ECF) dan pembiayaan antara rakan setara (P2P).

Mengulas tentang Laporan Tahunan MyCIF 2023 yang dikeluarkan hari ini, Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti, Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin berkata, MyCIF telah memacu hampir RM2 bilion pelaburan swasta melalui pelaburan sebanyak RM289 juta tahun lepas, membuktikan peranan pentingnya dalam memupuk pertumbuhan segmen ECF dan pembiayaan P2P.

“Sektor pertanian khususnya menyaksikan peningkatan sebanyak 86 peratus dalam penerbit yang disokong oleh skim pertanian MyCIF.

“Tambahan pula, MyCIF mencapai kadar yang lebih tinggi bagi PMKS di luar Lembah Klang iaitu 49 peratus daripada 40 peratus pada tahun sebelumnya.

“Ini bukti MyCIF menyokong keterangkuman dalam kalangan PMKS,” katanya dalam kenyataan.

Sejak penubuhannya, MyCIF menerima jumlah peruntukan sebanyak RM250 juta daripada kerajaan, dan berjaya melabur bersama RM930 juta dalam lebih 6,000 PKS, mencapai kesan berganda 3.7 kali ganda.

Ini memperoleh RM3.82 bilion dalam pelaburan swasta, menjadikan jumlah dana yang diperoleh dengan sokongan MyCIF kepada RM4.75 bilion.

Selain itu, MyCIF telah menjana pulangan positif bersih ke atas modal berjumlah RM20.7 juta atau 8.2 peratus daripada jumlah peruntukan daripada MoF.

Dengan tambahan sebanyak RM100 juta yang diperuntukkan dalam Bajet 2024, MyCIF akan terus menyokong inisiatif dalam bidang tumpuan iaitu pertanian, penjagaan kesihatan, pendidikan, alam sekitar, komuniti dan pembangunan aset wakaf melalui Majlis Agama Islam Negeri, selaras dengan agenda keterjaminan makanan serta kemampanan. – KOSMO! ONLINE

The post MyCIF labur bersama RM289 juta dalam 3,587 PMKS tahun lalu appeared first on Kosmo Digital.