Pulau Pinang harap perjanjian air dengan Perak dapat dilaksana ikut perancangan

 

GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang berhasrat Pelaksanaan Projek Skim Pemindahan Air dari Sungai Perak (SPRWTS) ke Pulau Pinang dapat dilaksanakan mengikut perancangan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, beliau juga berharap satu ketetapan dapat dicapai antara kedua-dua belah pihak berhubung projek terbabit.

“Kita sedia maklum projek berkenaan akan mengambil masa dalam tempoh enam hingga ke 10 tahun lagi.

“Apa yang saya maksudkan ialah, kalau tahun ini kita boleh mencapai persetujuan dari segi pelaksanaan pembiayaan, menandatangani perjanjian, kiranya itu pun sudah satu permulaan yang baik.

“Kalau kita boleh capai persetujuan dalam aspek ini, ia sudah dikira sebagai satu kejayaan sebelum disusuli dengan pelbagai proses teknikal, mereka bentuk dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan inisiatif transformatif, Penang IX yang turut dilancarkan Menteri Digital, Gobind Singh Deo di George Town, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, projek berkenaan membabitkan kedua-dua kerajaan negeri dan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

“Kita sebagai pengguna akan berunding meliputi pelbagai isu antaranya tarif air, berapa kadar air yang kita mahukan, penjadualan dan sebagainya.

“Soal tarif air mungkin kosnya akan tinggi memandangkan Pulau Pinang mendapat bekalan air terawat dan bukan air mentah, namun ia tertakluk kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN),” katanya.

Kelmarin, media melaporkan perjanjian bagi membekalkan air terawat ke Pulau Pinang melalui Projek Skim Pemindahan Air dari Sungai Perak (SPRWTS) dijangka tidak akan dapat dilaksanakan tahun ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ini berikutan banyak prosedur yang perlu dilakukan termasuk mendapatkan peruntukan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam bagi pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) di daerah Kerian.

Kata Saarani, tanpa kelulusan peruntukan daripada kementerian berkaitan, tiada perjanjian yang boleh dibuat antara dua negeri terlibat. – UTUSAN

 

 

The post Pulau Pinang harap perjanjian air dengan Perak dapat dilaksana ikut perancangan appeared first on Utusan Malaysia.

Related Articles