Sampel forensik, narkotik penuhi makmal kimia

Whatsapp image 2026 07 20 at 15. 40. 01

Whatsapp image 2026 07 20 at 15. 40. 01

PETALING JAYA – Jabatan Kimia Malaysia (Kimia) mendedahkan sampel forensik paling banyak diterima pihaknya untuk dianalisa diikuti narkotik, toksikologi, air, makanan dan alam sekitar sepanjang tahun lalu.

Ketua Pengarahnya, Marha­yani Md. Saad berkata, sepanjang tempoh itu sebanyak 710,741 atau 67.47 peratus merupakan sampel forensik, narkotik (450,182), toksikologi (108,141), air (62,133), makanan (30,596) dan alam sekitar (25,075).

Katanya, bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini pula, sebanyak 538,530 sampel telah dianalisis melibatkan antaranya kes forensik, narkotik, toksikologi, makanan, air dan alam sekitar.

“Kesimpulannya, sebanyak 1.05 juta sampel yang diterima daripada pelbagai agensi pe­nguat kuasa sepanjang tahun lalu, meningkat berbanding 931,814 sampel pada 2024.

“Ia untuk pelbagai tujuan termasuk mengesan bahan bukti, mengenal pasti jenis serta kan­dungan dadah dan menentukan kehadiran racun, alkohol, dadah atau bahan kimia dalam sampel biologi,” katanya.

Menurut Marhayani, analisis turut dijalankan ke atas sampel makanan bagi mengesan pencemaran, bahan terlarang atau ketidakpatuhan terhadap piawaian keselamatan, manakala sampel air dan alam sekitar diperiksa bagi mengenal pasti kandungan bahan kimia, logam berat, sisa pencemar serta tahap pencemaran.

Tambahnya, berdasarkan ­bilangan kes, tiga kategori yang mencatatkan peningkatan paling ketara antara 2023 hingga 2025 adalah narkotik, toksikologi dan DNA.

“Kes narkotik meningkat sebanyak 17 peratus daripada 74,754 kes pada 2023 kepada 87,458 kes pada tahun lalu, manakala 41,802 kes direkodkan sehingga Jun tahun ini.

“Kes toksikologi pula meningkat sebanyak 22 peratus, daripada 13,647 kes pada 2023 kepada 16,654 kes pada 2025.

“Bagi forensik DNA, jumlahnya meningkat sebanyak 20.7 peratus daripada 5,088 kes kepada 6,140 kes dalam tempoh sama,” kata­nya.

Dalam pada itu, Marhayani berkata, Selangor dan Johor me­rupakan dua negeri yang merekodkan penghantaran sampel tertinggi.

Marhayani bagaimana pun menjelaskan, jumlah kes tinggi di sesebuah negeri tidak semestinya menggambarkan kadar jenayah lebih tinggi kerana ia turut merangkumi analisis berkaitan industri, makanan, air dan alam sekitar.

Katanya, sesetengah kejadian pencemaran juga berlaku tanpa disengajakan antaranya kebocoran bahan api atau bahan kimia yang hanya disedari selepas memberi kesan kepada persekitaran.

“Misalnya Johor banyak melibatkan minyak sawit. Tawau di Sabah pun kita dapati banyak kes minyak sawit dan alam sekitar. Setiap negeri dan cawangan tidak sama corak penerimaan kesnya kerana ia bergantung kepada industri yang terdapat di kawasan ber­kenaan,” katanya.

The post Sampel forensik, narkotik penuhi makmal kimia appeared first on Kosmo Digital.

Related Articles