BH24ZAHIDBANK O BHfield image listing featured v2.var 1740381991

BWI kepada mangsa bencana disalur melalui BSN mulai tahun ini

bhnews@bh.com.my

KOTA KINABALU: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan bekerjasama dengan Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk menyalurkan Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada mangsa bencana, termasuk banjir di seluruh negara, mulai tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kaedah itu bagi memudahkan pembayaran bantuan, terutama kepada mangsa banjir yang tidak dapat berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Beliau memaklumkan BWI kepada mangsa banjir di seluruh negara, baru-baru ini, sudah diserahkan kepada pihak kerajaan negeri untuk diagihkan kepada mangsa yang berpindah ke PPS berdasarkan senarai lengkap yang direkodkan.

“Namun, ada dalam kalangan mangsa banjir itu yang tidak tinggal di PPS. Maka mulai tahun ini, pihak NADMA dan Kementerian Kewangan mengubah cara pengagihannya.

“Ia tidak lagi menerusi sistem konvensional, iaitu melalui Pejabat Daerah, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) atau Jawatankuasa Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKP).

“Setelah mengadakan rundingan, senarai mangsa-mangsa banjir yang dipindahkan itu akan mendapat bantuan wang ihsan melalui BSN,” katanya pada sidang media selepas melawat projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Persekitaran Kawasan Lido, Bandar Raya Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menjelaskan bahawa melalui kaedah itu, mangsa bencana yang sudah disenaraikan boleh ke cawangan BSN berhampiran untuk menuntut BWI masing-masing.

Beliau berkata, NADMA juga mengambil kira permintaan Kerajaan Sabah dan Sarawak mengenai mangsa tidak berpindah tetapi kawasan penempatan mereka dilanda banjir.

“Dalam perkara ini, kita melakukan beberapa urusan tatakelola untuk pengesahan bahawa mereka benar-benar mangsa banjir yang terjejas ketika musim Monsun Timur Laut (MTL).

“Kita akan mendapatkan pengesahan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah mengenai perkara ini dan melakukan pengubahsuaian terhadap pelaksanaannya,” katanya.

Beliau berkata, pengagihan wang bantuan melalui BSN itu juga adalah antara usaha untuk mengelakkan ketirisan penyaluran bayaran BWI.

Ahmad Zahid turut memaklumkan secara kumulatif, seramai 223,000 mangsa direkodkan dalam beberapa episod banjir di seluruh negara pada akhir tahun lalu dan awal tahun ini.

Di Sabah, beliau berkata, dua episod banjir berlaku pada 17 hingga 20 Januari lalu di tiga daerah dan 27 Januari hingga 16 Februari lalu membabitkan 14 daerah, dengan seramai 9,735 mangsa daripada 3,120 ketua isi rumah (KIR) dipindahkan ke 68 PPS.

“Di Sarawak, MTL 2024/2025 mencatat purata hujan tertinggi sebanyak 900 milimeter (mm) berbanding kebiasaan purata hujan 450mm.

“Data merekodkan sebanyak 5,012 KIR membabitkan 16,670 mangsa yang terkesan dengan bencana banjir, telah mendapatkan perlindungan di 85 PPS di Sarawak.

“Bagaimanapun, terdapat 32,901 KIR yang menjadi mangsa banjir tetapi tidak berpindah ke PPS di negeri itu,” katanya.

Pagi tadi, Ahmad Zahid turut menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) Pengurusan Bencana Negara Bilangan 1 Tahun 2025 di Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah, Kota Kinabalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd