Pembinaan rumah kedai bukan punca letupan paip gas di Putra Heights – MB Selangor
SHAH ALAM: Projek pembinaan rumah kedai di lokasi letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya bukanlah punca insiden letupan terbabit.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari menjelaskan pemaju projek itu sudah membuat permohonan dan mendapat kebenaran daripada PETRONAS pada 20 Mac lalu untuk melaksanakan kerja berkenaan di kawasan seliaan Petronas Gas Berhad (PGB).
“PGB juga mengkehendaki pihak pemaju untuk menepati syarat-syarat keselamatan yang ditetapkan oleh PETRONAS dalam mesyuarat pra-kerja sebelum permit kerja dikeluarkan.
“Menurut siasatan polis dan pengesahan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) dan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) pula, kerja-kerja di atas tanah tidak menyebabkan isu kepada paip gas kerana paip saliran monsun yang duduk di atas paip gas tidak terkesan dan masih lagi ‘intact’.
“Mengikut semakan saya dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), taman perumahan dan pembinaan paip monsun yang berukuran diameter 4.2 meter dijalankan sekitar 2008 dan 2009, iaitu sebelum penubuhan Pusat Unit Setempat pada 2010,” katanya.
Beliau membawa usul Di Bawah Peraturan Tetap 13 (i) Peraturan-peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor mengenai insiden letupan paip gas di Putra Heights di persidangan Dewan Negeri Selangor Ke-15 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, laporan polis mendedahkan tiada kecuaian dikesan malah seluruh aktiviti pemaju disoal siasat selain gambar yang dipertontonkan kepada awam turut disiasat.
“Polis bukan sahaja menyiasat gambar berkenaan. Kita turut memanggil sumber-sumber yang mengambil gambar itu dan menyemak kembali dengan data dan maklumat diberikan. Semua adalah berdasarkan dengan kebenaran diberikan termasuk daripada tuan tanah untuk pembinaan itu.
“Malah, saya boleh sebutkan tapak titik letupan berada pada jarak lebih jauh 30 hingga 60 meter dari tapak kerja yang ditetapkan. Tiada sebarang perkara yang hendak dilindungi,” katanya.
Amiruddin juga menjelaskan kepada dewan, kejadian terbabit bukan berlaku di atas tanah kerajaan sebaliknya milik PGB dan itu adalah hak milik persendirian.
Beliau turut menjawab dakwaan PBT tidak menepati kriteria apabila meluluskan Kebenaran Merancang membabitkan kawasan zon penampan.
“Zon penampan yang ditetapkan oleh PGB adalah 60 kaki. Di kawasan Putra Heights, zon penampan adalah sebanyak 66 kaki, 6 kaki lebih daripada syarat yang perlu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd