SPRM Sarawak syor empat penambahbaikan tatakelola JKR Sarawak

Bh3kelolo bhfield image listing featured v2. Var 1762171878

KUCHING: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak membentangkan empat syor penambahbaikan tatakelola kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak berhubung Pembekalan Alat Personal Protective Equipment (PPE) oleh kontraktor di bawah Pengurusan JKR Bahagian Miri, Sarawak.

Antara syor itu ialah mewujud dan menyediakan peraturan yang menjelaskan spesifikasi peralatan PPE di dalam dokumen tender yang mematuhi standard Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM)/ Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

Cadangan kedua ialah menyediakan surat larangan kepada pegawai dan kakitangan iaitu tidak dibenarkan menerima, meminta dan menuntut wang daripada mana-mana kontraktor termasuklah pembelian peralatan PPE.

Syor yang dibentangkan oleh Pengarah SPRM Sarawak, Datuk Hasbilah Mohamad Salleh turut mencadangkan JKR Sarawak menyediakan aku janji iaitu pelaksanaan “Pakatan Integriti” (Integrity Pact) kepada kontraktor terpilih supaya mematuhi perkara termaktub dalam dokumen tender Kerajaan Negeri Sarawak.

Syor penambahbaikan ini timbul ketika pengurusan JKR Bahagian Miri melaksanakan Projek Rural Transformation Project (RTP) pada 2020 atas nama Projek Membina Dewan Serbaguna Kampung Long Aya iaitu projek bernilai RM310,000.

Menerusi projek itu, SPRM mendapati pegawai JKR Bahagian Miri menuntut dan meminta wang daripada kontraktor untuk membeli sendiri peralatan PPE bagi kegunaan pemantauan dan pemeriksaan projek sedangkan pembekalan PPE itu sepatutnya disediakan oleh kontraktor.

Sementara itu, Pengarah JKR Sarawak, Datu Adj Prof Ir Ts Gs, Br, PMr, Dr Cassidy Anak Morris menyambut baik cadangan itu dan menyatakan persetujuan untuk melaksanakannya.

Sesi pembentangan itu yang diadakan di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat JKR, Sarawak di sini, hari ini diteruskan dengan sesi menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola di antara Datuk Hasbilah dan Pengarah JKR Sarawak.

Turut hadir Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Sarawak, Wan Ahmad Nidzam Wan Omar dan Ketua Cawangan Penyiasatan Tatakelola SPRM Sarawak, Mohd Hamzah Abdullah serta pegawai-pegawai kanan JKR Sarawak.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Related Articles