Tanah lembap dan lembut beri tekanan pada paip gas, jadi punca letupan
SHAH ALAM: Insiden paip gas bawah tanah yang meletup di Putra Heights pada 1 April lalu, dikenal pasti berpunca daripada faktor dalam tanah, bukannya akibat aktiviti di permukaan tanah.
Pengarah Bahagian Keselamatan Petroleum Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Husdin Che Amat, menjelaskan bahagian tanah paip berkenaan dikenal pasti berada dalam keadaan lembut dan lembap.
Berdasarkan siasatan teknikal dijalankan, penggunaan paip gas berkenaan didapati memenuhi spesifkasi teknikal ditetapkan, namun bahagian bawah paip itu didapati tidak disokong sepenuhnya oleh tanah.
Keadaan itu, katanya mengakibatkan kegagalan fizikal pada bahagian paip di lokasi kejadian, sehingga menyebabkan kebocoran gas yang kemudiannya terbakar.
Mengulas lanjut, beliau berkata tanah yang lemah menyebabkan paip bergerak berulang kali (cyclic loading), yang menimbulkan tekanan berulang (stress lines) dan garis keletihan (fatigue striations) pada permukaan paip.
Analisis metalografi, katanya menunjukkan ‘tensile overload’ (lebihan tegangan) menjadi punca utama kegagalan dan kerosakan ini berkembang secara perlahan sehingga menyebabkan kegagalan ‘ductile’ (kebolehan sesuatu bahan, terutamanya logam untuk ditarik atau dibentuk tanpa patah) yang melepaskan gas dan mencetuskan kebakaran.
“Kesimpulannya, kegagalan paip ini disebabkan oleh keadaan tanah di bawah paip yang tidak cukup kuat untuk menampung berat dan tekanan paip, menyebabkan ia menjadi tidak stabil, bocor dan akhirnya meletup.
“Lokasi kegagalan ini bukan akibat aktiviti di permukaan tanah tetapi kerana tanah di bawahnya yang tidak menyokong dengan baik,” katanya pada sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor hari ini.
Menurut Husdin, insiden kebocoran dan kebakaran paip gas di kawasan terbabit menjejaskan keselamatan awam, merosakkan infrastruktur dan menyebabkan gangguan bekalan gas serta elektrik di beberapa kawasan.
Justeru, katanya JKKP menjalankan siasatan menyeluruh selama hampir tiga bulan beberapa agensi lain.
Antara agensi berkenaan adalah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Jelasnya, siasatan dijalankan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Pindaan 2022) dan Akta Petroleum (Langkah-Langkah Keselamatan) 1984.
“Proses siasatan melibatkan pemeriksaan visual di lokasi kejadian, pengukuran dan semakan komponen paip gas serta pengambilan sampel untuk analisis makmal,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd