591 sekolah di Sarawak ditutup, IPU Serian ‘sangat tidak sihat’

PETALING JAYA: Sebanyak 591 sekolah di Sarawak diarahkan tutup akibat jerebu semakin teruk, dengan kualiti udara di Serian mencapai tahap ‘sangat tidak sihat’.
Bacaan indeks pencemaran udara (IPU) di Serian mencecah 241 setakat 8.30 pagi tadi, di mana Jabatan Alam Sekitar memberi amaran boleh menjejaskan kesihatan awam.
Lapan lagi kawasan di Sarawak mencatatkan bacaan IPU tidak sihat, iaitu Sri Aman (189), Kuching (186), Samarahan (179), Sarikei (173), Sibu (156), Bintulu (154), Samalaju (145) dan Kapit (129).
Bacaan IPU 0 hingga 50 dikategorikan baik, 51-100 sederhana, 101-200 tidak sihat, 201-300 sangat tidak sihat, 301-400 berbahaya, 401-500 sangat bahaya dan lebih 501 kecemasan.
Semalam, Jabatan Pendidikan Sarawak dalam kenyataan mengumumkan 591 sekolah di bawah seliaan 10 pejabat pendidikan daerah (PPD) di Sarawak ditutup serta-merta mulai semalam.
Ia membabitkan 509 sekolah rendah dengan keseluruhan 107,590 murid dan 82 sekolah menengah serta 89,733 pelajar di bawah seliaan PPD Kuching, Padawan, Bau, Lundu, Samarahan, Simunjan, Serian, Sri Aman, Lubok Antu dan Betong.
Semalam, Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak dilaporkan berkata, laporan Asean Specialised Meteorological Centre dari 1 Ogos hingga kelmarin mendapati 148 titik panas dikesan di Sarawak dan 7,286 titik panas dikesan di Kalimantan, Indonesia.
Jelasnya, asap rentas sempadan sederhana hingga tebal diperhatikan di Kalimantan Barat dan bergerak ke arah utara memasuki bahagian barat Sarawak.
Katanya, keadaan titik panas dan jerebu mungkin terus meningkat di kawasan mudah terbakar serta mengalami keadaan kering berpanjangan dengan risiko berlakunya jerebu rentas sempadan.