Whatsapp image 2024 02 27 at 2. 02. 56 pm 1024x768 1

Keadaan 4 sungai di Pasir Gudang membimbangkan

Whatsapp image 2024 02 27 at 2. 02. 56 pm

JOHOR BAHRU – Empat sungai di sekitar kawasan perindustrian Pasir Gudang, di sini dikesan dalam keadaan tercemar dan berada dalam tahap yang membimbangkan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, pemeriksaan yang dibuat Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor mendapati sungai berkenaan berada di tahap tiga dan empat.

Beliau berkata, ia membabitkan Sungai Tukang Batu, Sungai Perembi, Sungai Buluh dan Sungai Kim Kim yang terletak di dalam kawasan perindustrian tersebut.

“Berdasarkan sampel air yang diambil daripada empat sungai terbabit mendapati sungai itu tercemar pada tahap tiga dan tahap empat, perkembangan ini amat membimbangkan.

“Kita akan terus memantau situasi sungai ini dari semasa ke semasa bagi memastikan peristiwa pencemaran Sungai Kim Kim yang pernah melanda kawasan ini sebelum ini tidak berulang,” katanya.

Terdahulu, Ah Soon bersama pihak JAS Negeri Johor dan cawangan Pasir Gudang serta Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) mengadakan pemantauan di kawasan perindustrian tersebut.

Ah Soon berkata, usaha mengambil sampel air di sungai berkenaan akan digandakan serta pemantauan daripada semasa ke semasa akan dijalankan.

Katanya, antara punca menyebabkan sungai tercemar adalah akibat aktiviti industri, kumbahan, dan sikap membuang sampah sesetengah masyarakat,

“Kami berharap pengilang, pengusaha mematuhi peraturan selain pelbagai agensi bersama menjajah kelestarian dan kebersihan sungai.

“Pihak industri dikehendaki memastikan sebarang pencemaran alam sekitar yang boleh menjejaskan kesihatan awam tidak berlaku dan sentiasa mematuhi semua Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (PPKAS) yang termaktub di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974,” katanya. -KOSMO! ONLINE

The post Keadaan 4 sungai di Pasir Gudang membimbangkan appeared first on Kosmo Digital.