Laporan polis kami tahun lalu tak laku ke? – Nelayan
![]()
PONTIAN – Pakatan Nelayan Simpang Kiri, di sini mendakwa jika laporan polis dibuat pihaknya pada 23 Ogos tahun lalu berhubung aktiviti penambakan sisa bahan binaan di kawasan berhampiran sungai disiasat, nasib mereka tidak terjejas teruk seperti sekarang.
Pengerusinya, Shahrizal Sirang berkata, jika tindakan diambil kemungkinan keadaan yang menjejaskan kehidupan nelayan ketika ini dapat dielakkan.
Katanya, selepas setahun tiada tindakan, pihaknya terpaksa membuat laporan polis sekali lagi kelmarin selepas menerima arahan kerajaan negeri supaya dakwaan itu disiasat menyeluruh oleh semua agensi berkaitan.
“Kami kecewa kerana laporan setahun lalu seolah-olah tidak dipandang sehingga kerja-kerja penambakan sisa bahan binaan terus berleluasa tanpa sekatan,” katanya selepas membuat laporan di Balai Polis Permas, Kukup, di sini petang kelmarin.
Katanya, dia dan 30 ahli Pakatan Nelayan Simpang Kiri berharap siasatan kali kedua itu membuka mata semua pihak dakwaan pencemaran dan kesan terhadap sungai bukan rekaan.
Isnin lalu, Kosmo! melaporkan, Kerajaan Negeri Johor mahu siasatan menyeluruh dibuat berhubung dakwaan aktiviti penambakan sisa bahan binaan di Sungai Simpang Kiri, Mukim Sungai Karang, di sini didakwa menjejaskan pendapatan nelayan.
Katanya, laporan polis penting bagi membolehkan dakwaan berkaitan penambakan, perubahan aliran air, pencemaran atau kerosakan tebing sungai disiasat secara menyeluruh.
Seorang nelayan, Mohd. Khairul Husin, 41, berkata, masalah itu menyebabkan hasil tangkapan udang merosot daripada tujuh hingga lapan kilogram kepada hanya satu atau dua kilogram setiap kali ke sungai.
Katanya, nelayan bersengkang mata dari pukul 11 malam hingga 6 pagi berasa usaha mereka tidak lagi berbaloi akibat keadaan sungai yang didakwa terjejas.
The post Laporan polis kami tahun lalu tak laku ke? – Nelayan appeared first on Kosmo Digital.