Orang lain buat, orang lain tanggung
![]()
31 Ogos menjadi tarikh keramat bagi rakyat Malaysia kerana setiap tahun kita meraikan sambutan Hari kebangsaan. Setiap kali tiba tarikh tersebut, kita berasa teruja berkumpul beramai-ramai mengibarkan Jalur Gemilang, menyaksikan perarakan dan melihat pertunjukan aset pertahanan negara.
Tetapi tahun ini, pada tarikh sama, rakyat Malaysia berduka. Pertama, situasi jerebu yang semakin buruk di Sarawak dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 400.
Sarawak bersedia mengisytiharkan darurat jika bacaan mencapai tahap kritikal. Darurat jerebu pernah diisytiharkan di Kuching apabila bacaan IPU mencecah 650 pada 1997.
Kedua, kemalangan tragis meragut empat nyawa termasuk tiga beranak membabitkan 11 buah kenderaan di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT1) di Lanchang, Temerloh pada malam Selasa lalu meruntun hati orang ramai.
Ketika kejadian, Allahyarham Muhammad Nazatul Nazmi, isteri, Nur Atiqah Sofiya Mohd. Kazwan masing-masing berusia 32 tahun dan anak mereka, Muhammad Armaan Nazeef, 4, dalam perjalanan pulang ke Kuantan selepas menyambut Hari Merdeka di Putrajaya pada sebelah pagi.
Kereta Proton S70 yang dinaiki tiga beranak itu dirempuh sebuah treler tangki simen yang hilang kawalan. Menonton video rakaman kamera papan pemuka sebuah kenderaan di lokasi kejadian yang memaparkan detik cemas nahas itu berlaku sudah membuatkan kita kecut perut.
Dalam masa tidak sampai 10 saat, treler tersebut ‘menyapu’ beberapa kenderaan yang berhenti di hadapannya berkemungkinan disebabkan kesesakan.
Kadangkala sebagai pemandu kita sedaya upaya berhati-hati di atas jalan, namun perlu ingat kita juga berkongsi jalan raya dengan orang lain termasuk kenderaan berat.
Penulis sendiri pernah terlibat dalam kemalangan di mana kereta dilanggar dari arah belakang ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat. Dalam situasi tersebut, tiada apa yang boleh dilakukan bila melihat kenderaan di belakang dipandu laju selain ‘menyerah diri’ untuk dilanggar.
Hendak ke tepi tiada ruang. Di lorong kiri dan kanan masing-masing kenderaan berbaris panjang menunggu lampu isyarat bertukar hijau. Hentaman kuat dari belakang menyebabkan beg udara terbuka, namun penulis bersyukur kerana masih dipanjangkan umur.
Kes kemalangan disebabkan kecuaian pihak lain kerap dilaporkan sebelum ini, namun kesan ke atas mangsa menjadi lebih teruk sekiranya melibatkan kenderaan berat.
Dalam kejadian Isnin lalu, rata-rata orang ramai ‘menghentam’ treler yang didakwa dipandu laju, namun punca sebenar kenderaan berat itu hilang kawalan masih belum kita diketahui.
Mungkin sudah tiba masanya kerajaan menguatkuasakan larangan pemanduan kenderaan berat yang sebelum ini dilaksanakan pada musim perayaan diperluaskan pada musim cuti sekolah pula.
Jika larangan itu dianggap membebankan bagi pihak tertentu, mengehadkan pergerakan kenderaan berat hanya pada waktu siang atau setakat pukul 8 malam sudah memadai demi keselamatan pengguna jalan raya yang lain.
Kepada keluarga mangsa yang terkorban pula, saya ucapkan salam takziah.
The post Orang lain buat, orang lain tanggung appeared first on Kosmo Digital.