JKKP Pulau Pinang siasat kemalangan langgar papan amaran kerja pembaikan jalan

BH17JKKP O BHfield image listing featured v2.var 1755436908

NIBONG TEBAL: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang sedang menyiasat kes kemalangan maut yang mengorbankan seorang penunggang motosikal di Jalan Air Lintas, di sini pada 13 Ogos lalu.

Ia susulan insiden kira-kira jam 11.30 malam itu dipercayai berlaku ketika kontraktor pembaikan jalan sedang menjalankan kerja-kerja membaiki jalan tar di kawasan itu.

Pejabat Pengarah JKKP negeri dalam kenyataan hari ini berkata, mangsa yang menunggang sebuah motosikal melanggar papan tanda amaran sehingga menyebabkannya tercampak dan terkena bahagian belakang lori.

“Mangsa dibawa ke hospital dan disahkan meninggal dunia. Identiti mangsa masih dalam semakan lanjut dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Sehubungan itu, JKKP Pulau Pinang mengeluarkan Notis Perbaikan berkaitan Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC) dan prosedur kerja selamat bagi aktiviti membaiki jalan kepada pihak terbabit serta mengarahkan majikan mengemukakan dokumen berkaitan dan menjalankan siasatan dalaman.

“Pihak JKKP negeri juga akan menjalankan siasatan susulan dengan mendapatkan dokumen berkaitan, dan merakam percakapan dalam pemeriksaan bagi semua saksi yang telah dikenalpasti.

” Tindakan di ambil mengikut Seksyen 15(1), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Pindaan) 2022 akan diambil jika berlaku pelanggaran di bawah akta ini,” katanya.

Tegasnya, JKKP memandang serius setiap kemalangan maut di tempat kerja atau membabitkan aktiviti kerja penyelenggaraan jalan raya.

“Majikan bertanggungjawab sepenuhnya dalam mengenal pasti bahaya, menilai risiko dan mengawal risiko di tempat kerja selaras dengan keperluan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514).

“Kita ingin menegaskan bahawa sebarang kegagalan majikan mematuhi peruntukan undang-undang yang berkuatkuasa boleh dikenakan tindakan perundangan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Related Articles