Penduduk Putra Heights bimbang letupan berulang, gesa tindakan konkrit
KUALA LUMPUR: Penduduk meluahkan kebimbangan terhadap dapatan laporan teknikal insiden letupan paip gas di Putra Heights yang dikeluarkan semalam dan mahu tindakan konkrit diambil supaya ia tidak berulang.
Penduduk Kampung Kuala Sungai Baru, Syarifah Mustafa, 59, berkata kejadian pada 1 April lalu itu meninggalkan kesan dan trauma mendalam kepada setiap penduduk yang terkesan.
Beliau berkata hasil dapatan akhir yang diperoleh diterima penduduk dengan berat hati dan menggesa semua pihak mengambil langkah dan pemantauan ketat serta kerap di kawasan laluan paip gas berkenaan.
“Siapa yang tidak takut dan bimbang jika kejadian berulang kembali, tetapi kami tiada pilihan kerana di situlah tanah dan rumah kami. Situlah kami menetap dari kecil hingga sekarang.
“Jadi apa yang kami mahukan ialah pemantauan ketat dan kekerapan dilakukan oleh pihak berwajib kerana kawasan itu memang sudah diakui berisiko tinggi.
“Jika boleh PGB (Petronas Gas Berhad) juga perlu tambah baik teknologi untuk tahu sebarang kemungkinan yang berlaku pada masa hadapan. Ini kerana sepanjang saya menetap di sini, tidak pernah kejadian besar seperti itu berlaku,” katanya kepada BH, hari ini.
Semalam media melaporkan dapatan siasatan jenayah dan teknikal mengenai kebocoran dan kebakaran paip gas Putra Heights, Subang Jaya pada 1 April lalu berpunca daripada tanah lembut dan lembap di bawah laluan paip.
Pengarah Bahagian Keselamatan Petroleum, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Husdin Che Amat berkata, siasatan menyeluruh selama hampir tiga bulan mendapati kegagalan struktur paip berlaku apabila bahagian bawah paip tidak disokong sepenuhnya oleh tanah.
Syarifah berkata, beliau turut mengakui nilai hartanah di kawasan berkenaan juga semakin merosot memandangkan laporan mengaitkan insiden letupan akibat tanah lembut dan lembap.
“Dulu memang diakui harga tanah di sini agak tinggi, tetapi selepas ini saya yakin bahawa nilainya akan kurang,” katanya.
Pengerusi Persatuan Penduduk Putra Harmoni, Yusof Ismail, berkata pihaknya kecewa dengan dapatan laporan berkenaan apabila tiada pihak yang dipertanggungjawabkan selepas tiga bulan siasatan penuh dijalankan.
“Laporan yang dibentangkan dilihat tidak lengkap dan tidak bersetuju dengan kesimpulan bahawa tiada unsur kecuaian berlaku.
“Jika laporan menyatakan faktor tanah menjejaskan struktur paip gas itu, adakah bermakna kejadian ini akan berulang kembali.
“Rata-rata penduduk keluar bekerja dan meninggalkan anak mereka di rumah, perkara ini meninggalkan kebimbangan dan ia sangat meletihkan mental,” katanya.
Dalam masa yang sama, Yusof berkata, persatuan turut berasa kesal apabila PGB memulakan proses pengaliran gas semula ke dalam sistem paip pada pagi semalam tanpa memaklumkan secara jelas kepada penduduk kawasan berkenaan.
“Penduduk memahami bahawa proses pengaliran gas semula ini adalah sebahagian daripada usaha pemulihan dan pemulangan operasi, namun ia membangkitkan semula trauma dan keresahan penduduk yang masih bergelut dengan kesan insiden letupan termasuk kerosakan rumah, tuntutan insurans dan tekanan emosi.
“Apa yang komuniti perlukan bukan sekadar jaminan teknikal, tetapi juga jaminan emosi. Justeru persatuan penduduk menggesa PGB untuk menyediakan laporan teknikal ringkas dalam bahasa yang mudah difahami bagi mengembalikan keyakinan komuniti.
“Insiden ini menjadi satu peringatan bahawa dalam proses pemulihan pasca krisis, ketepatan teknikal mesti disertai dengan empati dan pendekatan kemasyarakatan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd