Pulihkan keyakinan awam, jawab kerisauan penduduk Putra Heights

Bhputra bhfield image listing featured v2. Var 1751511558

Letupan paip gas di Putra Heights pada musim perayaan Aidilfitri lalu, bukan sekadar insiden terpencil yang keyakinan umum boleh dipulihkan dan kebimbangan penduduk dapat dijawab dengan hanya laporan siasatan teknikal serta polis. Hakikatnya, kegusaran penduduk yang masih trauma dan bimbang adalah cerminan kekhuatiran rakyat seluruh negara. Saluran paip gas tidak hanya berada di Subang Jaya, tetapi juga merentasi banyak penempatan di negara ini, terutama di kawasan berkepadatan tinggi seperti di Lembah Klang.

Kita akur keputusan siasatan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) mendapati faktor tanah lembut dan lembap menjadi punca utama kegagalan struktur paip, manakala siasatan polis pula mengesahkan tiada unsur kecuaian manusia mahupun sabotaj dikesan sehingga kes diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Namun, dapatan teknikal tidak semestinya menghapuskan rasa takut penduduk, terutama yang mengalami dan menyaksikan insiden itu dengan mata kepala sendiri. Malah, ia menimbulkan persoalan; apakah insiden serupa boleh berlaku lagi jika tanah menjadi tidak stabil dan bagaimana rakyat dapat diyakinkan kejadian ini tidak akan berulang di kawasan lain?

Kita tidak menafikan paip digunakan PETRONAS mematuhi spesifikasi teknikal tertinggi dan melalui prosedur operasi standard (SOP) ketat, bukan sahaja mengikut piawaian negara, bahkan antarabangsa. Namun, perubahan dalam keadaan tanah bukan sesuatu boleh dikawal sepenuhnya oleh mana-mana piawaian kejuruteraan jika pemantauan tidak dibuat secara berkala. Oleh itu, langkah susulan lebih tuntas mesti diambil merangkumi pelbagai aspek.

• Pertama, proses penilaian persekitaran geologi perlu diperluas daripada hanya pada peringkat awal projek kepada penilaian berkala, terutama di kawasan berisiko tinggi. Ini perlu dibuat menggunakan teknologi moden yang menuntut pelaburan besar yang pasti kecil nilainya berbanding keselamatan penduduk terutama nyawa dan harta benda. Justeru, kita meminta PETRONAS bukan sahaja mengetuai usaha ini dengan komitmen penuh, bahkan ketelusan yang tinggi.

• Kedua, jawatankuasa khas yang diumumkan kerajaan Selangor mesti diberikan bidang kuasa luas merangkumi semakan SOP kerja penggalian bawah tanah, penetapan zon penampan baharu dan tanggungjawab pemaju dalam memaklumkan pembeli rumah mengenai risiko berhampiran paip gas. Undang-undang kecil dan syarat baharu dalam Unit Pusat Setempat (OSC) boleh menjadi saluran pelaksanaan awal, manakala enakmen negeri atau akta Persekutuan disemak untuk keseragaman.

• Ketiga, pendekatan pascakrisis mesti bersifat inklusif dan empatik. Penduduk bukan sahaja perlu diberi pampasan dan bantuan baik pulih, tetapi juga akses kepada laporan teknikal dalam bahasa yang mudah difahami. Komunikasi telus ini penting untuk memulihkan kepercayaan komuniti, terutama apabila proses pemulihan seperti pengaliran gas semula dilaksanakan sejak kelmarin.

Hakikatnya, tragedi ini perlu menjadi titik tolak pembaharuan sistemik dalam pengurusan infrastruktur bawah tanah negara. Rakyat berhak kepada jaminan keselamatan daripada kerajaan dan semua pihak terbabit, baik dari segi teknikal mahupun emosi. Hal ini menuntut tindakan konkrit, pemantauan konsisten dan keterbukaan pihak berkaitan kerana ia akan menjadi kunci kepada pemulihan keyakinan awam dan jawapan kepada kerisauan penduduk baik di Putra Heights mahupun di kawasan lain.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Related Articles