PETRONAS kenal pasti kawasan paip bawah tanah berisiko seperti insiden Putra Heights
SHAH ALAM: PETRONAS sudah menjalankan arahan untuk mengenalpasti kawasan paip gas bawah tanah yang berisiko bagi mengelak insiden letupan di Putra Heights berulang lagi pada masa akan datang.
Pengarah Bahagian Keselamatan Petroleum Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Husdin Che Amat, memaklumkan ia sebagai tindakan susulan untuk tempoh masa pendek.
Selain itu, katanya, PETRONAS juga disaran untuk mengambil tindakan jangka panjang bagi mengelak insiden itu berulang.
“Tindakan perlu diambil PETRONAS dalam bentuk jangka pendek dan jangka masa panjang. Diharapkan syarikat berkenaan untuk kenalpasti tempat atau lokasi yang sama (seperti di Putra Heights).
“Ia termasuk tindakan penambahbaikan segera yang perlu diambil syarikat berkenaan. Apa pun, pihak PETRONAS telah kenal pasti tempat-tempat terbabit.
“Untuk jangka masa panjang, banyak perancangan perlu dibuat pihak PETRONAS. Mereka sudah pun kenal pasti,” katanya pada pembentangan laporan insiden letupan paip gas bawah tanah Putra Heights, di bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor, di sini hari ini.
Dalam pembentangan laporan hasil siasatan insiden itu hari ini, pembinaan di sekitar paip gas bawah tanah mematuhi zon penampan ditetapkan.
Ia sekali gus menunjukkan aktiviti di luar kawasan berkenaan bukan faktor yang menyebabkan paip berkenaan meletup dan terbakar pada 1 April lalu.
Ditanya adakah zon penampan di kawasan paip gas berkenaan sepatutnya dikaji semula kerana kemungkinan ia tidak sesuai untuk aktiviti pembinaan, beliau berkata perkara itu tidak termaktub dalam siasatan yang dijalankan kali ini.
Bagaimanapun, beliau berkata perkara itu akan di bawah untuk dibincangkan dengan lebih lanjut dalam satu jawatankuasa khas seperti diumumkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
“Kita akan bincang lebih lanjut kerana cadangan dalam laporan kita adalah Kita tubuh jawatankuasa untuk kaji kesesuaian dari segi aktiviti (mengikut zon penampan) dan sebagainya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd